Kumpul Sejak 1971

kumpul sejak 1971

Sebuah bingkai gambar di Bank Gen Padi Negara Stesen MARDI, Seberang Perai, Pulau Pinang, nampak biasa. Butiran padi yang disusun mengikut jenis juga tidak banyak memberi kesan kepada penulis, apatah lagi sudah terbiasa melihat butiran beras di pasaran. Cuma membezakan padi berkenaan adalah bentuk dan warnanya, selain diletak pada sudut paling istimewa bagi tontonan pengunjung sebagai bahan pameran. Secara jujur itu persepsi pertama penulis mengenai kewujudan barisan padi di pusat berkenaan.

Namun, bagi yang teliti, bingkai gambar itu mempunyai maksud tersirat kerana setiap satunya mempunyai identiti tersendiri bersandarkan jenis dan nombor siri. Malinja, Mahsuri, Ria, Bahagia, Murni, Masria (pulut), Jaya, Sri Malaysia 1 dan Sri Malaysia 2, Pulut Malaysia I, Setanjung (MR1), Sekencang (MR7), Pulut Siding (MR47) antara varieti padi diisytiharkan.

Setiap varieti itu mengandungi maklumat penting seperti induk, tarikh matang, tinggi pokok, panjang tangkai, berat 1,000 biji dan hasil kilogram per hektar. Ini yang dapat anda saksikan ketika menyertai Program Lawatan MARDI ke Pulau Pinang anjuran Bahagian Urusan Korporat, MARDI, Serdang, baru-baru ini.

Bank Biji Benih Padi (Bank Gen Padi) adalah satu-satunya tempat penyimpanan biji benih padi di negara ini mengikut standard antarabangsa. Dibantu Pegawai Penyelidik Kanan Bank Gen Padi, Site Norzuraini Abd Rahman, kunjungan kami menjadi lebih menarik dan berinformasi. Ini kerana siswazah dari University of the Philippines, Filipina itu mahir dalam bidang Genetik Pemuliharaan dan Pengurusan Sumber Genetik Tanaman (Genetik). Secara amnya, terdapat 24 spesies padi di dunia, namun hanya dua boleh dimakan iaitu jenis Oryza sativa dan Oryza glaberima (ditanam di Afrika). Menurutnya, Bank Gen Padi di Pusat Penyelidikan Sumber Strategik MARDI itu memberi fokus memulihara sumber germplasma padi.

“Aktiviti pengumpulan padi tradisional bermula pada 1950-an oleh Jabatan Pertanian Negeri bagi mengelak kepupusan,” katanya.

MARDI hanya memulakan aktiviti pengumpulan dan pemuliharaan pada 1971. “MARDI menubuhkan sebuah bilik sejuk dipanggil koitotron dan ia hanya boleh menampung simpanan biji benih padi untuk jangka masa pendek dan sederhana. “Aktiviti germplasma padi yang berterusan setiap tahun mengakibatkan kapasiti tempat penyimpanan biji benih padi menjadi terhad. “Sehubungan itu, MARDI bersama Biodiversity International (dulu Institut Sumber Genetik Tanaman Antarabangsa, IPGRI) menubuhkan bank biji benih padi dilengkapi bilik sejuk beku,” katanya.

Katanya, simpanan jangka panjang membabitkan suhu 20 darjah Celsius dan tempoh simpanan 30 tahun. Bagi jangka sederhana, ia membabitkan suhu tiga hingga lima darjah Celsius untuk tempoh 15 tahun. “Bagi simpanan jangka pendek, biji benih disimpan pada suhu 19 hingga 20 darjah Celsius untuk tempoh tiga tahun,” katanya.

Site Norzuraini menganggap bilik sejuk sebagai bilik kebal yang menempatkan duit di bank, cuma bezanya simpanan padi disimpan untuk tempoh tertentu.  “Kami menyediakan simpanan yang sempurna untuk padi dan selepas itu mencari maklumat membabitkan pokok, warna daun dan panjang daun. “Ciri-ciri itu penting untuk penyelidikan bagi menghasilkan varieti baru,” katanya. Bank biji benih bukan saja terkenal sebagai tempat penyimpanan padi, tetapi berperanan dalam penyelidikan terutama pembiakbakaan padi.

“Peranan utamanya adalah membekalkan biji benih padi dan menyalurkan maklumat yang tersimpan dalam sistem pangkalan data. “Aktiviti lain ialah penggandaan biji benih padi, pencirian sifat morfologi pokok, padi dan beras serta saringan penyakit,” katanya. Katanya, aktiviti penggandaan biji benih padi penting untuk memastikan kuantiti padi dalam simpanan sentiasa mencukupi bagi tujuan penyelidikan.

“Biji benih padi sentiasa diperbaharui sebelum tempoh akhir jangkaan hidupnya bagi menjamin biji benih sentiasa dalam keadaan berkualiti,” katanya. Sehingga kini katanya, 12,258 aksesi padi tersimpan di bank itu merangkumi spesies padi tradisional tempatan, Indonesia, Thailand, India, Bangladesh, China, Jepun, Myanmar, Thailand, Vietnam, Amerika Syarikat dan Pakistan.

“Sehingga Oktober lalu, sebanyak 39 varieti padi moden diisy­tiharkan MARDI untuk memenuhi keperluan industri padi negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/03 – Harian Metro

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s