Gallus gallus adalah nama saintifik bagi ayam hutan merah, Gallus varius untuk ayam hutan hijau, Gallus sonneratii untuk ayam hutan kelabu dan Gallus lafatetii untuk ayam hutan Ceylon atau Sri Lanka.
Namun bagi kebanyakan daripada kita semuanya ialah ayam kampung yang secara mudahnya baka ayam tempatan berwarna perang balung merah, badan tegap dan dibiar berkeliaran atau lepas bebas.
Ayam pedaging dan penelur yang diternak secara komersial serta besar-besaran kini adalah berasal daripada spesies ayam hutan merah.
Berbanding ayam pedaging dan penelur komersial, ayam kampung tidak menjalani proses pembiakbakaan yang sistematik walaupun berasal dari ayam hutan merah.
Proses pembiakbakaan yang tidak terkawal serta sistematik telah menghasilkan ayam kampung pada hari ini yang mempunyai pelbagai ciri fizikal yang berbeza dari seekor ke seekor walaupun dalam kelompok reban yang sama.
Industri penternakan ayam sama ada untuk pedaging atau penelur telah pun mencapai tahap sara diri (SSL), tetapi bilangan ternakan ayam kampung masih lagi dalam jumlah yang kecil iaitu kurang dari lima peratus sahaja.
Bilangan yang terhad, berserta tempoh penternakan yang lama (12 minggu minimum), ditambah dengan prestasi pertumbuhan yang kurang memuaskan menyumbang kepada harganya agak mahal di pasaran.
Ayam kampung bukan sahaja diternak sebagai sumber pendapatan penternak, tetapi juga untuk sajian-sajian istimewa selain untuk memenuhi masa lapang atau hobi. Permintaan yang tidak pernah putus terhadap daging ayam kampung menyebabkan bekalan berkurangan. Ini mendorong orang ramai untuk melibatkan diri dalam penternakan ayam kampung secara komersial. Namun masalah bekalan anak ayam kampung berumur sehari menjadi penghalang kepada usaha-usaha penternak itu.
Menyedari permasalahan tersebut, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mengambil inisiatif menjalankan penyelidikan pembiakbakaan dan pembaikbakaan ayam kampung. Usaha menambakbaik baka ayam kampung telah dimulakan seawal tahun 2000 di Ibupejabat MARDI, Serdang, Selangor. Ayam kampung jantan telah dikahwinkan dengan ayam Sasso betina yang dibawa masuk dari Perancis untuk menghasilkan ayam kampung terpilih MARDI.
Ayam kampung terpilih itu mempunyai ciri-ciri seperti ayam kampung. Tetapi dengan prestasi pertumbuhan mirip kepada ayam pedaging menyebabkan ia kurang diterima ramai sebagai ayam kampung.
Projek pembiakbakaan dan pembaikbakaan ayam kampung telah diteruskan pada 2008 di bawah geran penyelidikan Sciencefund Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berjumlah RM200,000.
Itu untuk menghasilkan ayam kampung yang seragam daripada segi saiz badan, bulu, rupa dan pertumbuhan serta peneluran yang lebih baik berbanding ayam kampung asli.
Pegawai Penyelidik MARDI di Stesen MARDI Muadzam Shah, Pahang, Azlina Azma Ismail Affendee berkata, untuk tujuan tersebut, pasukan beliau telah mendapatkan kumpulan ayam kampung daripada beberapa kawasan iaitu di utara, selatan dan tengah tanah Semenanjung Malaysia.
Berat ayam kampung MARDI yang diternak secara teratur dengan pemberian makanan komersial yang seimbang mampu mencapai 1.5 kilogram (kg) bagi jantan dan 1.3 kg bagi ayam betina pada umur 12 minggu dan telurnya menetas selepas 21 hari.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130722/ag_01/Baka-ayam-kampung-terbaik#ixzz2ahNwq9UA
© Utusan Melayu (M) Bhd
Salam Sejahtera…
Mohon penjelasan dari pihak mardi…
Saya (faizuul) ada memohon anak ayam kampung baka mardi sebanyak 500ekor..
Saya di beritahu yg perlu menunggu giliran kerana sudah banyak permintaan. Baiklah… tetapi mengapa perlu menunggu sehingga tahun 2015 baru boleh dapat anak ayam tersebut.Staff tersebut beritahu bahawa proses pengeluaran anak ayam agak terhad di mardi “”PUSAT MARDI KUANTAN””
Sekian terima kasih…
– Untuk makluman, pengeluaran anak ayam kampong MARDI masih lagi dalam skala penyelidikan. Oleh itu, pengeluaran anak ayam kampong adalah sangat terhad.
– Pihak MARDI masih lagi menunggu usahawan untuk mengambil teknologi pengeluaran ayam kampong untuk dikeluarkan secara komersial. Oleh yang demikian, saudara terpaksa menunggu giluran yang agak lama.
Sekian, harap maklum.
Assalamualaikom, boleh bagi lebih info baka ayam kampong terbaik. Sebab saya mencari baka ayam kampong terbaik, tahan lasak.
Untuk makluman berkenaan dengan ayam kampong/benih ayam kampung ,mohon Tuan/puan hubungi;
Pegawai: Azlina Azma Binti Ismail Affendee
Email: einazma@mardi.gov.my
Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik Stesen Mardi Muadzam Shah
No tel: 09 455 2220
SALAM,,,SAYA BERMINAT UNTUK MENTERNAK AYAM KAMPUNG,,,ADAKAH PERMOHONAN MASIH DIBUKA DAN BAGAIMANAKAH PROSEDUR TERSEBUT?
Kursus dan latihan : ‘Penternakan Ayam Kampung dan Ayam Pedaging’ akan berlansung pada 10-13 Februari 2014 ini bertempat di Serdang, Selangor dengan jumlah bayaran yuran yang dikenakan, RM950. Untuk sertai kursus tersebut, tuan perlu mengisi borang dari laman web MARDI dan hantarkan kepada alamat seperti yang dinyatakan. Sila muat turun borang, senarai kursus dan promosi berkenaan dengan kursus dan latihan di : http://www.mardi.gov.my/web/guest/latihan-teknikal-2014