Putrajaya, 26 November – Industri Sarang Burung Walit kini dimodenkan melalui program penyelidikan yang dijalankan secara bersama oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Universiti Putra Malaysia (UPM). Program penyelidikan tersebut merangkumi pembangunan pengeluaran dan pemakanan, ekologi, genetik, penyakit, pemasaran dan ekonomi, serta kualiti dan standard.
Pemodenan industri ini amat perlu bagi meningkatkan kualiti sarang burung walit yang kian mendapat permintaan tinggi terutama untuk pasaran antarabangsa. Untuk menjayakan pemodenan industri ini, Seminar Kebangsaan Industri Sarang Burung Walit (EBNIC) 2012 diadakan buat julung kalinya selama dua hari di Hotel Marriot, Putrajaya. Dengan bertemakan ‘Meningkatkan Dayasaing dan Kelestarian Industri Sarang Burung Walit’, ianya menggambarkan cabaran dan isu yang diharungi oleh pengusaha industri serta kesungguhan usaha kerajaan untuk memartabatkan industri ini. Seminar ini dihadiri seramai 250 orang yang terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti penyelidik, tenaga pengajar, pengusaha, IKS dan juga pelajar.
Dikesempatan majlis ini, Y.B Datuk Chua Tee Yong telah melancarkan MS Standard bagi Sarang Burung Walit. Ianya merupakan standard khusus yang dikeluarkan oleh Jabatan Standard Malaysia bagi menyelaras pengeluaran sarang burung walit agar menepati kualiti yang ditetapkan.
Tetamu yang hadir adalah Y.B Datuk Chua Tee Yong,Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani; Y.Bhg Datuk Dr. Abd Shukor Abd Rahman, Ketua Pengarah MARDI; Dr. Idris Kadir,Pengarah Bahagian Komoditi Ternakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Yang Berusaha Prof. Datin Paduka Aini Ideris, Timbalan Naib Chansellor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Putra Malaysia (UPM); dan En. Radzuan b. Kasim, Pengarah Kanan, Jabatan Standard Malaysia
One thought on “Pemodenan Industri Sarang Burung Walit”