Serdang, 24 November – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Serdang sekali lagi telah berjaya membangunkan varieti padi baru iaitu MR 269. Baka baru padi ini dihasilkan merupakan varieti inbred biasa yang mempunyai ketahanan yang lebih baik terhadap penyakit karah dan perosak serta memberikan hasil tinggi untuk pilihan para petani dalam meningkatkan hasil tanaman mereka berbanding MR 219. Pelancaran varieti padi MR 269 ini telah disempurnakan oleh Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abd Razak, Perdana Menteri Malaysia di Laman Padi bersempena perasmian MAHA International 2012.
Varieti padi MR 269 ini sesuai ditanam di kawasan tanah subur dan juga kawasan kurang subur. Para petani dicadangkan menggunakan MR 269 secara meluas agar pengeluaran padi dan beras negara dapat dipertingkatkan sekaligus mencapai sasaran tahap sara diri negara serta keperluan penggunaan dalam negara.
Dalam sesi pelancaran ini juga, Perdana Menteri Malaysia turut melancarkan kilang khusus untuk padi wangi. Kilang ini telah dinaik taraf dari pengeluaran 500 kg beras wangi sehari kepada kilang mini komersial yang berkapasiti enam hingga lapan matrik tan sehari. Kilang ini dibina khas untuk pengeluaran padi/beras wangi yang merupakan salah satu usaha MARDI melalui Entry Point Projek 9 (EPP9) di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) untuk mencapai sasaran pengeluaran beras wangi sebanyak 73 ribu metrik tan setahun menjelang tahun 2020.
Terdapat beberapa buah kilang yang sama telah dibangunkan MARDI di beberapa stesen penyelidikan MARDI mengikut zon iaitu zon utara di MARDI Bukit Raya Dan Seberang Perai, Zon Tengah di MAEPS dan Kuala Linggi, Zon Timur di MARDI Jeram Pasu dan Muadzam Shah.
Turut hadir ke majlis ini adalah Y.B Datuk Seri Noh b. Haji Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani; Y.Bhg Dato’ Mohd Hashim b. Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani; dan Y.Bhg Datuk Dr Abd Shukor Abd Rahman, Ketua Pengarah MARDI