Serdang, 28 November – Buah dabai atau Zaitun Sarawak mempunyai potensi yang tinggi untuk dipelbagaikan kegunaan. Secara konvensional, buah dabai hanya dimakan segar namun hasil penyelidikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), pembangunan produk berasaskan buah dabai telah dibangunkan dan teknologi tersebut dilancarkan oleh Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin di Pavillion Sarawak sempena MAHA International 2012
Pembangunan produk tersebut dijangka dapat mengatasi lambakan buah dabai dan sering menjadi isu di kalangan pengusaha di Sarawak. Antara produk yang telah dibangunkan adalah jeruk dabai, pulpa sejukbeku dabai, sos pencicah dan pes perencah dabai, serta mayonis dan juga minuman daripada dabai. Produk-produk tersebut contohnya pula sejukbeku boleh mengekalkan rasa segar dabai melebihi setahun.
Majlis ini turut dihadiri oleh Y.B Datuk Hjh Rohani bt Abdul Karim, Ahli Parlimen Batang Lupar merangkap Timbalan Menteri Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Y. Bhg Dato’ Mohd Hashim Abdullah, Ketua Setiausaha, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Y. Bhg. Datuk Dr. Abd. Shukor Abd. Rahman, Ketua Pengarah MARDI.