Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia

SERDANG, 10 Nov – Menyedari potensi besar sektor herba dunia, Malaysia mempertingkatkan usaha untuk membangunkan industri itu dengan memanfaatkan sumber dalaman negara. Menurut Pegawai Penyelidik Prinsipal Program Agronomi dan Pengeluaran Tanaman MARDI Wan Zaki Wan Mamat, Malaysia mempunyai lebih 15,000 spesies tanaman herba dan 12,000 daripadanya mempunyai nilai farmaseutikal yang tinggi.

Untuk itu, MARDI yang diberi tanggungjawab meneraju industri huluan tanaman herba negara telah mengatur beberapa langkah meliputi pelbagai aspek termasuk penanaman dan pembangunan produk, katanya kepada Bernama di sini. Katanya buat masa ini 65 peratus bahan mentah produk herba negara datang dari China, India dan Indonesia, namun kerajaan berusaha mengurangkan import itu dengan melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

“Daripada 35 peratus sumber tempatan, 75 peratus diperolehi dari sumber liar atau hutan, manakala herba yang ditanam pula kebanyakan untuk makanan,” kata Wan Zaki yang juga Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Padi dan Tanaman Industri MARDI. Nilai dagangan sektor herba dunia mencecah RM777 bilion pada 2006 dan dijangka meningkat tiga kali ganda menjelang 2020 dengan mengambil kira peratusan penduduk negara maju yang menunjukkan kecenderungan terhadap produk berasaskan herba.

Katanya Projek Permulaan (EPP) 1 di bawah Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi Negara (NKEA), bermatlamat menghasilkan produk bernilai tinggi sebanyak RM2.2 bilion daripada lima herba iaitu tongkat ali, kacip fatimah, misai kucing, hempedu bumi dan dukung anak. EPP 1 ini dijangka menyediakan 1,800 peluang pekerjaan baharu serta melahirkan 300 pengilang, katanya.

“Sebagai contoh Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC) akan melabur sebanyak RM20 juta bagi membangunkan sebuah ladang herba seluas 406 hektar di Durian Mentangau, Dungun bermula Januari tahun depan. “Pelaksanaan di bawah projek Kelompok Herba ECER itu mampu mengukuhkan kedudukan ECER sebagai pusat kecemerlangan industri yang mampan dan berdaya maju dalam industri herba,” katanya. Projek ladang herba seumpama itu turut dibangunkan di Chegar Perah, Lipis, Pahang berkeluasan 327 hektar dan Rantau Manis, Gua Musang, Kelantan seluas 323 hektar.

Mengikut rekod Jabatan Pertanian Malaysia, keluasan tanaman herba domestik yang berdaftar dengan jabatan itu meningkat daripada 303 hektar pada 2005 kepada 543 hektar pada 2010, iaitu peningkatan 11.93 peratus setahun. Sementara itu, Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Teknologi Makanan MARDI Dr Mohamed Shafit Hussain berkata seiring peningkatan kepercayaan masyarakat dunia terhadap makanan berasaskan herba, MARDI menggiatkan penyelidikan dalam bidang tersebut.

 

“Kita di sini memberi fokus pada produk-produk yang berasaskan herba di mana banyak fungsian-fungsian makanan yang kita boleh hasilkan daripada herba. “Secara global, pasaran bagi makanan kesihatan mencecah sehingga US$600 bilion tahun ini. Jadi potensi begitu besar untuk menjana pendapatan tinggi dalam industri ini,” katanya. Menurutnya makanan berasaskan herba merangkumi antara 30 dan 40 peratus daripada produk makanan yang dijual di pasaran di negara ini dan dijangka mencatatkan pertumbuhan sehingga 50 peratus setahun.

MARDI katanya berjaya mengeluarkan beberapa produk makanan berkhasiat tinggi berasaskan herba dengan menggunakan teknologi terkini seperti Teh Mas Cotek, Granola Bar dan Nutrima Jus. Sementara itu, Pegawai Penyelidikan Prinsipal, Pusat Penyelidikan Teknologi Makanan MARDI Dr Suri Roowi berkata Nutrima Jus yang dihasilkannya melalui kajian selama 6 tahun bersama Universiti Glasgow, United Kingdom telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“Sehingga kini produk ini telah memenangi lapan anugerah dari dalam dan luar negara kebanyakannya emas termasuk di Malaysia Technology Expo 2012 dan British Invention Show 2012 baru-baru ini,” katanya.

–BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: