Teknologi GM Mampu Perkukuh Keselamatan Makanan Malaysia

Oleh Linda Khoo dan Nur Syuhada Shamsudin

KUALA LUMPUR, (Bernama) — Pertambahan pesat penduduk, perubahan iklim, kenaikan harga makanan serta penyusutan kawasan pertanian dan sumber air, memberi masalah serius terhadap usaha menambah pengeluaran makanan untuk memenuhi keperluan penduduk dunia yang semakin meningkat.

Keadaan ini menuntut saintis mencari penyelesaian lebih berkesan bagi membolehkan petani yang terpaksa menggunakan kawasan pertanian lebih kecil untuk meningkatkan pengeluaran masing-masing melalui penggunaan tanah, air, tenaga, baja dan racun makhluk perosak yang lebih rendah kadarnya.

Seperti rakan sejawatan mereka di negara maju, penyelidik tempatan percaya Teknologi Pengubahsuaian Genetik (GM) mampu meningkatkan pengeluaran makanan di Malaysia pada masa akan datang.

Tanaman GM bukan saja membantu meningkatkan hasil dan khasiat pemakanan, tetapi juga menambah baik rasa serta kualiti dan memperkasa daya tahan terhadap penyakit serta musuh, yang sekali gus dapat mengurangkan penggunaan racun makhluk perosak dan racun herba.

Malaysia melakar kejayaan besar dalam tanaman GM apabila tanaman pengubahsuaian genetik pertamanya akan menghijaukan kebun atau ladang di negara ini dalam tempoh enam hingga lapan tahun akan datang.

MENJADI NEGARA PENGAMAL GM

Tanaman GM bukan saja membantu meningkatkan pengeluaran melalui penggunaan kadar sumber yang lebih rendah, tetapi juga dapat mengatasi pelbagai isu berkaitan khasiat pemakanan dan kesihatan yang mendepani masyarakat Malaysia seperti yang didedahkan Timbalan Pengarah Program Biologi Molekular dan Kejuruteraan Genetik Institut Penyelidikan Pertanian Malaysia (Mardi) Dr Indu Bala Jaganath.

“Walaupun Malaysia tidak berada di ambang ancaman krisis makanan, namun ia dilanda kebimbangan berkaitan khasiat pemakanan berikutan meningkatnya kes penyakit komunal seperti sakit jantung (CVD), kencing manis dan kanser.

“Pengubahsuaian Genetik (GM) boleh digunakan untuk meningkatkan tahap khasiat pemakanan dan teraputik tanaman,” kata Dr Indu, dengan menyebut padi jenis Transgenic Golden yang sedang dihasilkan Institut Penyelidikan Padi Antarabangsa (IRRI) bagi menangani kes kekurangan Vitamin A, sebagai contoh.

Mardi mengambil keputusan menghasilkan sejenis padi yang diubahsuai genetiknya dan memiliki ciri-ciri lebih ampuh, termasuk mampu menyesuaikan diri dengan perubahan iklim seperti kemarau dan banjir serta mampu menahan diri daripada serangan makhluk perosak dan penyakit.

“Kita tidak boleh bergantung pada kaedah pertanian konvensional semata-mata.

“Kita memerlukan inovasi teknologi yang ampuh untuk merevolusikan pertanian sedia ada bagi mencapai tahap sara diri dari segi makanan. Kita perlu melakukan transformasi pertanian secara radikal.

“Mungkin, teknologi adalah kuncinya. Kita tidak boleh memandang remeh teknologi GM dalam usaha kita untuk menangani cabaran global dari segi pertambahan penduduk, yang diburukkan lagi oleh perubahan iklim dan kawasan subur yang terhad keluasannya,” kata beliau kepada Bernama.

TEKNOLOGI GM DI MALAYSIA

Dr Indu berkata Mardi sedang menghasilkan padi GM yang kebal daripada serangan penyakit hawar upih akibat serangan kulat Rhizoctonia Solani. Hawar upih adalah penyakit utama yang menjejaskan pengeluaran hasil dan kualiti bijirin serta mengakibatkan petani menanggung kerugian besar.

Oleh kerana jenis padi yang kebal atau mampu menahan penykit itu belum ada, maka petani dan penyelidik tidak boleh semat-mata bergantung pada kaedah pembiayakan konvensional untuk meningkatkan daya tahan terhadap penyakit itu.

Memandangkan belum terdapat bahan kimia atau amalan pertanian yang berkesan untuk mengawal penyakit ini, maka Mardi mengguna pakai pendekatan GM untuk membangunkan jenis padi yang kebal terhadap serangan penyakit itu.

“Kami sedang mengusahakannya di peringkat makmal dan ladang. Langkah seterusnya ialah membuat penilaian di lapangan, yang melibatkan analisis keselamatan bio secara komprehensif.

“Kita akan dapat melihat tanaman GM pertama di Malaysia enam hingga lapan tahun lagi. Bagaimanapun, semuanya bergantung pada kejayaan percubaan dan kestabilan gen yang digunakan,” katanya.

BETIK MASAK TANGGUH

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Bioteknologi Mardi Dr Umi Kalsom Abu Bakar berkata betik transgenik yang memiliki trait tangguh masak sedang dihasilkan bagi membolehkan buah-buahan ini mempunyai hayat simpanan lebih panjang dan mengekalkan kualitinya sewaktu tempoh penghantaran.

“Sekiranya kita ingin mengeksport betik kita melalui udara, kosnya amat tinggi. Untuk mengurangkan kerugian pasca tuaian dan meningkatkan kadar bolehpasaran betik, Mardi sedang menghasilkan betik yang mampu melambatkan proses masaknya bagi menolong pengeksport.

“Idea untuk menghasilkan betik yang memiliki hayat simpanan lebih panjang bagi tujuan eksport telah wujud sejak lama dulu, tapi kami tidak mempunyai trait yang dikehendaki. Kini, oleh kerana kami sudah mempunyai traitnya, maka kami berharap dapat memajukannya lagi dan mengkomersialkannya tidak lama lagi,” kata beliau.

Beberapa betik transgenik daripada jenis Eksotika yang memiliki ciri-ciri yang mampu menangguhkan tempoh masak, sudah dihasilkan dan penilaian terhadap percubaan di lapangan akan dibuat untuk mengesahkan trait yang dicari bagi betik GM.

Dr Umi berkata selain itu, Mardi juga menghasilkan jenis betik yang mampu menahan diri daripada penyakit mati rosot yang boleh memusnahkan tanaman ini.

Penyakit mati rosot pertama kali dilaporkan berlaku pada 2003 dan penyakit ini menyebabkan jumlah eksport betik menjunam daripada 57,000 tan metrik pada 2003 kepada 10,000 tan metrik pada 2008, melibatkan kerugian berjumlah RM51.5 juta.

“Penyakit mati rosot betik menjadi ancaman kepada industri perladangan betik di Malaysia. Saintis kami sedang bekerja keras untuk mengenal pasti gen yang mampu menahan serangan penyakit ini,” katanya.

MANFAAT TERHADAP EKONOMI DAN ALAM SEKITAR

Sementara itu, Pengarah PG Economics Limited Graham Brookes berkata tanaman GM berjaya mengurangkan penggunaan racun makhluk perosak sebanyak 438 juta kg dan sekali gus mengurangkan kesan buruk terhadap alam sekitar yang berpunca daripada penggunaan racun herba dan racun makhluk perosak di kawasan yang ditanam dengan tanaman biotek, sebanyak 17.9 peratus.

Brookes, yang juga pengarang bersama laporan tahunan ketujuh “Global Impact of Biotech Crops: Economic and Environmental Effects 1996-2010”, berkata tanaman GM mengurangkan dengan ketara pelepasan gas rumah hijau daripada amalan pertanian.

Pada 2010, jumlah ini adalah bersamaan dengan penghapusan 19.4 bilion kg karbon dioksida daripada atmosfera atau pemindahan keluar 8.6 juta kenderaan daripada jalan raya setahun.

“Setelah 16 tahun menanam dan menggunakan tanaman bioteknologi, belum terdapat bukti kukuh dan yang didokumenkan tentang sebarang kesan negatifnya terhadap keselamatan, kesihatan atau alam sekitar,” kata beliau bagi merujuk kepada keraguan yang disuarakan pihak yang menentang tanaman GM.

Kesimpulannya, tanaman GM boleh dijadikan cara berkesan untuk memenuhi keperluan makanan umat manusia pada masa akan datang dan Malaysia amat menyedari potensi besar yang terdapat pada tanaman GM untuk mencapai sasaran keselamatan makanannya.

http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsindex.php?id=703802
— BERNAMA

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s