Lebih 3 Juta Dijangka Kunjungi MAHA 2012

Image

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Lebih tiga juta orang dijangka mengunjungi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2012 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang dari 23 Nov hingga 2 Dis ini.

Pengarah Projek MAHA 2012 Anas Ahmad Nasarudin berkata bertemakan ‘Transformasi Pertanian Melalui Inovasi’, MAHA 2012 juga bakal memaparkan kejayaan sektor pertanian dan industri asas tani serta ternakan dari aspek inovasi dan teknologi dari dalam dan luar negara.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Marditech Corporation Sdn Bhd, berkata MAHA 2012 juga merupakan platform untuk menggalakkan belia negara menceburi bidang pertanian yang memberi pendapatan lumayan kepada mereka.

Beliau berkata program ini dapat memberi pendedahan kepada golongan itu mengenai peluang yang disediakan kerajaan bagi melibatkan diri dalam industri pertanian.

“Beberapa siri seminar dan program ‘Young Entreprenuer’ juga akan diadakan bagi memupuk minat mereka untuk menceburi bidang ini,” katanya ketika ditemuramah dalam rancangan Ala Carte Pagi di Bernama Radio24 pada Khamis.

— BERNAMA

MARDI Perkenal Varieti Padi Wangi Baru MRQ 76

ImageSERDANG, 11 Sept – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) pada Selasa memperkenalkan varieti ketiga padi wangi yang dihasilkannya, MRQ 76 yang dijangka mengurangkan import beras wangi negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata penghasilan varieti baharu itu selaras saranan kerajaan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Projek Permulaan Ekonomi (EPP) 9 untuk memajukan lagi pengeluaran padi wangi di luar jelapang padi.

Katanya ketika ini negara mengimport 30 peratus beras dari luar negara dengan 25 peratus adalah beras berkualiti tinggi seperti beras wangi dan basmathi yang perlu dijual lebih mahal daripada beras keluaran tempatan.

“Jadi di bawah EPP 9 ini, kita galakkan pula beras-beras wangi serta beras-beras hibrid yang kita import itu supaya ditanam sendiri untuk mengurangkan import dari luar negara,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran MRQ 76, di sini.

Noh berkata MARDI mengambil masa 10 tahun untuk membuat kajian bagi menghasilkan varieti itu setelah varieti MRQ 50 dan MRQ 74 diperkenalkan, masing-masing pada 1999 dan 2005.

— BERNAMA