MARDI Latih Pegawai Pertanian Palestin Dalam Bidang Ruminan

SERDANG, 3 Sept (Bernama) — Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan melatih pegawai pertanian Palestin mengenai pengeluaran makanan ruminan bagi menambah pengeluaran pertanian di negara tersebut. Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Abd Shukor Abd Rahman berkata menerusi Kerjasama Malaysia-Jepun ke Palestin, Marditech Corporation Sdn Bhd, subsidiari penuh Mardi telah dilantik untuk mengadakan latihan tersebut kepada 21 wakil Kementerian Pertanian Palestin.

Beliau berkata modul latihan mengandungi aspek teori dan latihan mengenai pengeluaran makanan ternakan ruminan dan mengguna pakai bahan sedia ada yang terdapat di negara berkenaan bagi meningkatkan produktiviti dan kesihatan ternakan. “Kita tahu industri ruminan adalah agak besar di Timur Tengah. Jadi kita akan menyentuh terutamanya mengenai pembuatan pelbagai makanan dari sumber tempatan di sini dan di Palestin. “Kita akan menunjuk kepada mereka pelbagai kaedah membuat makanan ternakan yang akhirnya membantu mereka apabila kembali ke negara mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program latihan mengenai pengeluaran makanan ruminan untuk rakyat Palestin di sini Isnin.

Turut hadir ialah Duta Palestin ke Malaysia, Abdel Aziz Abu Ghoush dan Duta Jepun ke Malaysia, Shigeru Nakamura. Abd Shukor berkata para peserta tersebut akan menjalani latihan mulai hari ini hingga 13 Sept ini, termasuk menghadiri syarahan, kerja berkumpulan dan lawatan sambil belajar ke pelbagai industri berkaitan. Beliau berkata MARDI telah membangunkan pakej teknologi berkaitan pengeluaran makanan ternakan dari kelapa sawit.

“Ini bersamaan dengan pokok tamar di negara mereka. Mungkin mereka boleh menggunakan daun tamar untuk mengeluarkan makanan ternakan di negara mereka kelak,” katanya.
Sementara itu Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Hashim Abdullah berkata penternakan ruminan adalah penting di Palestin. Namun masalah besar yang dihadapi di sana ialah kawasan ragutan yang semakin mengecil, katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh timbalannya Datuk Dr Baharom Jani.

Mohd Hashim berkata sektor penternakan di Palestin adalah tidak stabil dari segi jumlah ternakan dari setahun ke setahun berdasarkan jumlah pengeluaran dan terutama harga bahan makanan ternakan.
Oleh sebab itu Kementerian Pertanian Palestin telah mengenal pasti bahawa penambahbaikan pengeluaran makanan ruminan memerlukan strategi yang sesuai, katanya.

— BERNAMA

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s