Kilang Pemprosesan Vitato Di Besut Mula Beroperasi Bulan Depan

KUALA TERENGGANU, 1 Sept – Kilang pemprosesan “Vitato”, varieti baharu ubi keledek yang diperkenalkan Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI), bernilai hampir RM5 juta di Kampung Tembila, Besut, dijangka memulakan operasi awal bulan depan.

Vitato, mula mendapat perhatian dan diusahakan para petani di Terengganu dan Kelantan apabila tanaman ini didapati menjana pendapatan lumayan bagi menggantikan tembakau sebagai sumber utama.
Pengurus Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) Sawalludin Ahmad berkata kilang yang dirancang kira-kira tiga tahun lepas oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu dijangka mampu memproses empat tan Vitato segar sehari atau 120 metrik tan sebulan.

“Kita telah mengambil beberapa langkah dan memberi tumpuan terhadap tanaman ubi Vitato sebagai komoditi terpilih untuk dimajukan oleh petani memandangkan ia mampu memberi pendapatan lumayan.
“Dengan siapnya kilang ini, ia bakal menjadi tempat memproses Vitato untuk pelbagai kegunaan seperti bahan makanan selain ramuan kecantikan,” katanya ketika ditemui pemberita pada rumah terbuka Hari Raya PPNT di sini hari ini.

— BERNAMA

Ramai Pengusaha Produk Ikan Dilahirkan Melalui ‘Test Bed’ MARDI Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 28 Ogos – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Terengganu yakin dapat melahirkan lebih ramai pengusaha produk berasaskan ikan untuk menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa melalui kemudahan makmal ‘test bed’.

‘Test bed’ merupakan makmal teknologi pemprosesan makanan berasaskan ikan yang dilengkapi peralatan canggih serta bilik sejuk beku untuk melicinkan pengeluaran beberapa jenis produk makanan terpilih.Pengarahnya Hassan Said berkata makmal ‘test bed’ MARDI di Kuala Terengganu kini mengeluarkan produk satar, otak-otak, keropok lekor, keropok keping dan nuget ikan oleh usahawan tempatan.

“Ada usahawan yang sedang dalam peringkat perbincangan akhir membekalkan produk ke sebuah pasar raya di bandar ini dan ia satu kejayaan kerana dapat mengeluarkan kapasiti produk berskala besar melalui penggunaan mesin berteknologi tinggi,” katanya ketika ditemui Bernama di sini Selasa.

Buat masa ini, MARDI mempunyai sembilan makmal ‘test bed’ di seluruh negara dengan makmal di Kuala Terengganu dan Sabah memfokuskan kepada pengeluaran produk berasaskan ikan.

— BERNAMA