Majlis Syarahan Perdana Penyelidikan MARDI


Majlis Syarahan Perdana Penyelidikan MARDI :
“Produk Warisan – Pencetus Inovasi dan Membangun Industri Makanan”
Oleh : SAMSUDIN AHMAD
Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi MARDI
Pada : 21 Jun 2012 (Khamis) , 2.00 petang
Auditorium Ibu Pejabat MARDI

Advertisement

Pelabur Malaysia Dipelawa Bantu Bina Semula Sri Lanka

KUALA LUMPUR  (Bernama) — Pelabur Malaysia boleh membantu Sri Lanka membina semula negara itu yang telah terjejas oleh perang saudara selama tiga dekad, kata Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia, K. Godage. Beliau berkata terdapat banyak sektor yang menarik di mana syarikat-syarikat Malaysia boleh melabur. “Kami memerlukan kepakaran anda untuk membantu kami mengenal pasti sektor berpotensi yang kami mungkin telah ketinggalan,” kata Godage.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarang agensi berita ini Datuk Yong Soo Heong; Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, Datuk Zulkefli Salleh dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa, Ahmad Zukiman Zain, di sini hari Khamis. Beliau berkata pelabur Malaysia banyak membantu dalam pembinaan semula Sri Lanka, yang ekonomi terjejas oleh perang yang berakhir pada 2009.

Godage, 76, berkata beliau berminat untuk menarik lebih banyak pelabur Malaysia kerana “syarikat-syarikat Malaysia penting kepada kami, dan begitu juga dengan produk-produk dan perkhidmatan mereka.” Beliau berkata projek-projek di mana syarikat-syarikat Malaysia boleh melabur adalah dalam perumahan, jalan raya, hotel, kasino dan infrastruktur.

Sektor-sektor lain termasuk perkhidmatan, pelancongan, komunikasi berasaskan pengetahuan dan telekomunikasi pada dasar bina-milik-kendali dan bina-milik-pindah, katanya. Godage berkata Sri Lanka menawarkan “pakej yang baik,” dan mahu meningkatkan hubungan dengan Malaysia dalam sektor ekonomi serta pembangunan manusia. “Kami perlu banyak mempelajari dari Malaysia dan kami ingin mempunyai interaksi lebih erat. Kami juga sedang berusaha untuk membangunkan semula Suruhanjaya Bersama Sri Lanka-Malaysia melalui hubungan yang lebih erat dengan agensi-agensi Malaysia seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi),” katanya.

Godage yang menggemari buah rambutan dan manggis, berkata penyelidikan Mardi telah memberi sumbangan besar kepada usaha-usaha pembangunan di Sri Lanka. “Satu kumpulan dari Malaysia telah memulakan idea menanam limau nipis secara besar-besaran untuk eksport, dengan menggunakan limau nipis berkualiti tinggi daripada badan-badan penyelidikan di Malaysia,” katanya. Mengenai dasar-dasar Sri Lanka untuk menarik pelabur dan meningkatkan perdagangan, Pesuruhjaya Tinggi itu berkata, negaranya berhasrat menjadi destinasi perdagangan yang mesra pelaburan dan akan mewujudkan semula pusat setempat untuk memudahkan keperluan pelabur.

Mengenai pendidikan, Godage berkata kerajaan Sri Lanka kini mengusahakan program pertukaran pelajar dan akan menyediakan biasiswa kepada pelajar antarabangsa yang berminat untuk melanjutkan pelajaran di Sri Lanka. “Kami ingin menjadi sebuah negara moden, negara yang mempunyai kelebihan maklumat, seperti Malaysia. Kami akan membangunkan rakyat kami melalui sistem pendidikan berdasarkan nilai-nilai yang akan membantu mereka berkait antara satu sama lain,” katanya.

— BERNAMA

MARDI Akan Perkenal Varieti Baru Tanaman Pada MAHA 2012

BACHOK, 12 Jun 2012 – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) akan memperkenalkan varieti baru bagi beberapa jenis tanaman yang mampu memberi hasil tinggi dan berkualiti pada Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2012 di Serdang, Selangor, November ini.

Ketua Pengarah Mardi Datuk Dr Abdul Shukor Abdul Rahman berkata pada tahun ini, Mardi mendapat peruntukan sebanyak RM10 juta daripada kerajaan dan RM10 juta lagi daripada sumber lain, bagi menjalankan projek penyelidikan dan pembangunan, termasuk mencari varieti baru bagi beberapa jenis tanaman seperti padi dan tanaman kontan.

“Kita (Mardi) akan memperkenalkan varieti baru dari semasa ke semasa yang lebih tahan terhadap serangan penyakit dan memberi hasil yang banyak serta berkualiti tinggi, oleh itu datanglah ke MAHA 2012,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Memasyarakatkan Stesen Mardi Telong di sini, pada Selasa.

Pada majlis tersebut, Dr Abdul Shukor melancarkan buku bertajuk Stesen Mardi Telong – Pencapaian 30 tahun (1982-2012), yang mengisahkan kejayaan yang dicapai stesen Mardi tersebut sejak ditubuhkan sehingga sekarang, termasuk memperkenalkan varieti baru tanaman, teknologi pengeluaran tanaman, pengurusan tanah, mekanisme ladang, pengurusan air dan pengurusan selepas tuaian.

Mengenai Stesen Mardi Telong, beliau berkata stesen tersebut berjaya memperkenalkan beberapa jenis tanaman alternatif kepada tembakau untuk diusahakan petani secara ladang dengan pendapatan lumayan.

 

— BERNAMA