Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia

Di Malaysia, tanaman padi untuk menghasilkan beras wangi bukan segmen utama dalam pengeluaran beras negara. Namun, berdasarkan situasi semasa, permintaan terhadap beras wangi semakin meningkat hingga mencecah 200,000 tan setahun.  Antara beras wangi yang diimport  ialah beras wangi lembut (jenis Jasmine) yang kebanyakannya diimport dari Thailand dan beras wangi peroi (Basmathi) yang kebanyakan diimport dari Pakistan atau India. Nilai  import bagi kedua-dua jenis beras ini mencecah RM500 juta setahun. Beras wangi boleh dikelaskan kepada beberapa jenis seperti lembut, melekit, berketul dan peroi. Kebanyakan pengguna di Malaysia menggemari beras wangi dari Negara jiran seperti Thailand, Kemboja dan Vietnam. Fenomena ini mungkin disebabkan kurangnya beras wangi tempatan di pasaran. Dari segi harga, beras wangi lebih mahal daripada beras biasa, iaitu sekitar RM4.50 hingga RM6 sekilogram berbanding beras biasa sekitar RM2.70 hingga RM3.20 sekilogram.

Bagi mengurangkan kebergantungan beras wangi import, kerajaan khasnya menerusi Institut Penyelidikan dan   Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menggerakkan kumpulan pakar untuk menghasilkan baka padi wangi tempatan yang boleh menyaingi beras import. Justeru, menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) itu, MARDI berjaya mencipta dua jenis padi wangi iaitu MRQ 50 dan MRQ 74. Padi wangi MRQ 50 diisytiharkan pada 1999. Ia mempunyai sifat beras yang panjang dan tekstur nasinya menyamai Basmathi. Namun, potensi hasilnya hanya sekitar empat tan sehektar dengan pulangan mengilang rendah dengan perolehan berat kepala sekitar 65 hingga 75 peratus saja. Untuk menambah baik kedua-dua ciri ini, MARDI menghasilkan MRQ 74. Jenis ini diisytiharkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi di Stesen MARDI Seberang Prai pada 5 Februari 2005 dengan diberi nama Maswangi.

MRQ74 (Maswangi) mempunyai karakter yang menyerupai beras wangi Basmathi dan kajian menunjukkan ia mengandungi Asid Butrik Amino Gamma (GABA) yang tinggi dan terbukti boleh mengurangkan tekanan bagi orang yang memakannya. GABA ialah ejen penenang semula jadi kepada otak manusia, justeru ia membantu dalam proses rehat dan kurangkan tekanan. Maswangi juga mempunyai nilai Indeks Glycemic (GI) rendah yang sangat sesuai dimakan penghidap kencing manis. Nilai ini merujuk proses kadar penukaran karbohidrat kepada glukosa yang lambat dan hasilnya pesakit tidak akan mengalami kenaikan mendadak kandungan glukosa selepas mengambil nasi. Nilai GI bagi beras biasa ialah 80 dan beras pulut 100 tetapi Maswangi mempunyai nilai sekitar 40 saja. Beras ini mampu mengeluarkan hasil selepas 125 hari atau kira-kira tiga bulan tiga minggu selepas disemai. Namun, ia memerlukan satu aliran kerja yang komprehensif bagi memastikan ketulenan benih dan juga beras yang dikilang.

Penanam dan pengilang perlu gigih supaya ia tidak bercampur dengan padi biasa ketika menanam, menuai dan mengilang. Ini bermaksud perlu ada dedikasi ladang pengeluaran biji benih dan kilang memproses beras wangi, apatah lagi untuk tujuan tanaman secara organik. Setakat ini, sebuah syarikat swasta Infoculture Sdn Bhd (Infoculture) terbabit dalam projek pengeluaran Maswangi secara organik di Kelantan, Langkawi, Pahang dan Melaka merangkumi tanah seluas 360 hektar. Ketua Pegawai Eksekutif Infoculture, Mohd Affandi Ismail, berkata ketika ini Maswangi ditanam di Gual Ipoh dan Kelaweh, Kelantan membabitkan 60 hektar tanah serta di Paya Pesagi, Chenor dan Batu Bor, Bera di Pahang dengan keluasan 120 hektar. Langkawi, Infoculture menanam Maswangi membabitkan tanah seluas 124 hektar dan di Kampung Sungai Siput, Lubok Cina, Melaka, tanah seluas 56 hektar. Uniknya, penanaman Masangi di Melaka dilakukan secara organik, sekali gus menjadikannya beras wangi bebas racun dan bersifat semula jadi.

“Kita menjangkakan hasil penanaman Maswangi ini diperoleh pada pertengahan tahun ini. Perkembangan setakat ini juga amat menggalakkan dan kita yakin dapat mengaut keuntungan menerusi projek ini,” katanya. Beliau berkata, bagi menjayakan projek berskala agak besar ini, pihaknya memajak sawah milik penduduk yang sudah lama tidak mengusahakan tanaman padi.

“Pemilik memperoleh pendapatan menerusi pajakan kepada syarikat. Kita juga mengupah mereka mengerjakan bendang, sekali gus memberikan penduduk pendapatan untuk menyara hidup,” katanya. Mohd Affandi berkata, langkah kerajaan memperkenalkan penanaman beras wangi di kawasan bukan jelapang di bawah Projek Permulaan (EPP) 9 iaitu untuk penanaman padi tanpa pengairan adalah satu keputusan tepat. EPP 9 ini bagus sebab kita dapat membaik pulih sawah terbiar dan pada masa sama mengeluarkan beras baru iaitu beras wangi yang mempunyai kualiti dapat menyaingi beras import. “Oleh kerana kami adalah syarikat pemacu dalam projek ini, kita percaya ia akan mendatangkan keuntungan walaupun pasaran Maswangi adalah untuk pasaran tempatan. Kita tunggu hasil pengeluarannya pada pertengahan tahun ini,” katanya.

Sumber Dipetik : Berita Harian

Comments on: "Maswangi Mampu Tandingi Kualiti Beras Wangi Import" (1)

  1. thanks for share. thumbs up!
    @herbalife klang

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: