MARDI bangunkan penyelidikan tingkatkan hasil

Dalam menyumbang kepada agenda transformasi pertanian negara, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memainkan peranan
penting membangunkan teknologi untuk diguna pakai kumpulan sasaran, yang terdiri daripada golongan petani, peladang, agensi kerajaan, sektor swasta dan individu.

Melalui Rancangan Malaysia Ke-9 dan Ke-10, MARDI membangunkan pelbagai teknologi, antaranya pembangunan baka baru tanaman dengan menghasilkan beberapa varieti baru padi buah-buahan dan sayur-sayuran yang diguna pakai oleh kumpulan sasar.

Bagi tanaman padi varieti terkini yang dibangunkan, adalah MR253 dan MR263. Menerusi penggunaan varieti ini, padi boleh ditanam di kawasan yang mempunyai tahap kesuburan rendah atau kawasan yang mempunyai kadar kemasaman tinggi.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Abd Shukor Abd Rahman berkata, MARDI turut membangunkan varieti MR220CL1 dan MR220CL2, iaitu jenis varieti yang sesuai ditanam di kawasan bermasalah dengan serangan padi angin.

“Penghasilan dua varieti baru ini adalah satu sumbangan besar daripada MARDI kepada industri pertanian negara khususnya padi, kerana varieti ini dapat menangani masalah serangan padi angin yang menjejaskan pesawah di negara ini. Untuk meningkatkan pengeluaran padi, MARDI juga membangunkan sistem penanaman yang dikenali sebagai sistem aerob, iaitu satu kaedah penanaman yang menggunakan air mengikut keperluan. Cara penanaman ini adalah berbeza dengan kaedah penanaman biasa yang menggunakan kaedah air bertakung. Kaedah ini sangat sesuai digunakan pada masa kini, memandangkan perubahan cuaca global pada hari ini yang tidak menentu, terutama ketika keadaan cuaca panas dan kering di mana kita memerlukan kaedah tanaman yang kurang memerlukan air,” katanya.

Menurut Dr Abd Shukor, MARDI menghasilkan 35 varieti padi sejak 1971. Varieti paling popular ditanam oleh kebanyakan petani adalah dari jenis MR219 dan MR220, di mana lebih 90 peratus jelapang padi di Malaysia menggunakan varieti ini.

Untuk mengurangkan import beras, MARDI kini membangunkan varieti MRQ74 yang dikenali sebagai Mas Wangi dan beberapa lagi varieti berkualiti bagi memenuhi keperluan penduduk negara.

MARDI kini melakukan penyelidikan ke atas varieti padi hibrid yang mampu menghasilkan peningkatan hasil sebanyak 10 hingga 15 peratus berbanding padi inbrid.

“Buat masa ini, kita sedang menilai padi hibrid dari China dengan kerjasama penyelidik dari negara itu. Pada masa sama membuat penilaian dengan Institut Penyelidikan Padi Antarabangsa (IRRI) di Filipina dan akan membangunkan padi hibrid Malaysia dalam masa dua atau tiga tahun akan datang. Matlamat MARDI kini adalah untuk meningkatkan produktiviti tanaman padi daripada dua musim tanaman dalam setahun kepada lima musim tanaman dalam dua tahun dengan menggunakan baka sedia ada,” katanya.

Buat masa kini, purata pengeluaran padi bagi setiap hektar di peringkat nasional adalah sebanyak 3.85 tan sehektar dan kiraan ini termasuklah penghasilan padi bukit di Sabah dan Sarawak, bagaimanapun untuk peringkat jelapang hasilnya
adalah lebih tinggi.

Bagaimanapun, di kawasan tertentu seperti di Selangor atau di kawasan MADA, hasil yang diperoleh adalah melebihi 6 tan sehektar, malah terdapat juga kawasan yang mempunyai sistem infrastruktur dan saliran yang baik, petani mampu mencapai 10 tan sehektar, dan seperti mana di Tanjung Karang baru-baru ini, penghasilan padi di sini mampu mencecah sehingga 13 tan sehektar.

Turut dilaksanakan adalah kajian ke atas pertanian tepat yang menggunakan satelit imej yang bertujuan untuk memastikan input pertanian seperti baja atau racun serangga digunakan mengikut keperluan sebenar atau berdasarkan status kesuburan tanah.

Di samping itu, sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan tersohor, MARDI juga memainkan peranan penting dalam memajukan industri pertanian negara, menerusi hasil kajian dan ciptaan terkini teknologi pertanian dan penghasilan
produk bersumberkan pertanian.

Antara yang diperkenalkan MARDI adalah mewujudkan makmal Centre For Marker Discovery and Validation (CMDV) dengan kerjasama BiotechCorp, yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri pada 21 November lalu. Makmal tersebut merupakan sebuah pusat bagi meningkatkan keupayaan program pembaikbakaan tanaman dan ternakan yang pertama di Malaysia.

Dua bidang bioteknologi yang berpotensi dalam pertanian adalah kejuruteraan genetik dan pembaikbakaan berbantukan penanda molekul. Kejuruteraan genetik adalah teknologi bagi menghasilkan varieti baru dalam tanaman supaya dapat digunakan sebagai induk menerusi pembaikbakaan.

Selain makmal teknologi CMDV, MARDI juga memperkenalkan Biosensor yang digunakan sebagai alat pemantau tahap pencemaran yang terkandung dalam makanan seperti segar dan terproses. Melalui teknologi biosensor, bahan pencemaran dalam makanan dapat ditentukan dengan pantas, iaitu kurang dari
pada satu jam dan pada kadar yang rendah iaitu bahagian perjuta (bpj).

Sebagai contoh, biosensor bagi mengesan sisa baki kimia dalam sayur-sayuran dan buah-buahan segar telah dilesenkan kepada syarikat tempatan. Begitu juga dengan biosensor untuk mengesan antibiotik dalam daging ayam.

Kewujudan Biosensor dapat membantu pihak penguasa seperti Kementerian Kesihatan untuk memantau tahap pencemaran produk makanan di pasaran.
Bagi memastikan kualiti tanaman dan ternakan terjamin, MARDI turut menghasilkan produk effective microb (EM) yang dikenali Genkimo.

Genkimo dihasilkan melalui proses fermentasi dan pemencilan secara semula jadi menggunakan seratus peratus produk tempatan. Kandungan mikrob efektif enzim dan asid organik dapat membantu dalam meningkatkan kesihatan dalaman ternakan, dan meningkatkan tumbesaran dan daya tahan penyakit manakala ia amat sesuai untuk menggalakkan percambahan dan meningkatkan proses fotosintesis tanaman serta menukar bahan organik kepada baja dengan cepat. Produk ini berkesan untuk menghindar bau busuk dan lalat, dan sesuai digunakan untuk ternakan ayam dan lembu.

Menerusi bidang penghasilan makanan, MARDI sentiasa menjalankan penyelidikan dan kajian terhadap produk makanan berasaskan pertanian yang bukan saja boleh dipasar di dalam negara tetapi mampu ke pasaran dunia, dan antara yang terkenal adalah Kacang Tanah Varieti Margenta dan Ubi Keledek
Varieti Vitato.

Varieti Margenta adalah kacang tanah yang diperkenalkan MARDI menerusi teknologi baru mereka, malah tanaman varieti itu terbukti mempunyai potensi, terutama dalam meningkatkan penghasilannya di tanah bris dan sesuai dijadikan sebagai tanaman singkat, iaitu ditanam secara giliran dengan jagung manis
dan keledek.

Margenta sesuai dijadikan snek seperti kacang rebus kering, coklat berkacang, bepang kacang dan kacang goreng bersalut, selain dijadikan sebagai bahan untuk kuah sate.

Produk Varieti Vitato pula dikenali sebagai ubi keledek dan juga disebut sebagai ‘Ipomea batatas’ yang kaya dengan karbohidrat dan vitamin A.

(Sumber dipetik dari Berita Harian)

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s