Petani disaran guna GenKimo ke atas tanaman, haiwan ternakan

HULU LANGAT, 8 Disember – Semua peladang, petani dan penternak disaran menggunakan produk GenKimo bagi menggantikan penggunaan antibiotik ke atas tanaman dan juga haiwan ternakan mereka.

Menteri Pertaman dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, produk keluaran Dazzling Destiny Sdn Bhd itu, berasaskan bahan organik dan ia bersifat mesra alam, selain mutunya dijamin lebih baik berbanding antibiotik.

Katanya, produk bebas bahan kimia sintetik itu bagus untuk meningkatkan kualiti rasa tanaman dan daging ternakan, kerana menggunakan kaedah teknologi hijau, sekali gus baik untuk mengurangkan toksin dalam badan manusia.

Malah, tambah beliau, penternak tidak perlu lagi risau mengenai bau busuk yang terhasil daripada najis haiwan ternakan, kerana produk GenKimo turut mampu mengatasi masalah tersebut.

“Lazimnya, usahawan ternakan mendirikan reban atau kandang jauh dari kawasan perumahan, memandangkan bau najis yang busuk serta masalah lalat.
Kini, kalau mereka mahu mendirikan reban atau kandang di sebelah rumah pun tiada masalah,” kata beliau, yang menaungi projek usahasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertaman Malaysia (MARDI) itu.

Beliau berkata demikian sejurus merasmikan produk berkenaan serta merasmikan pembukaan kilang syarikat tersebut di Semenyih dekat sini hari ini.
Tambah beliau, MARDI akan turun padang untuk satu perjumpaan bersama ahli Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk mencadangkan penggunaan produk tersebut.

“Bagaimanapun, kerajaan tidak melarang mereka untuk terus
menggunakan antibiotik,” ujarnya.

(Sumber dipetik dari Utusan Malaysia)

Rancang projek optimum tanah pertanian

Jumlah tanah yang semakin berkurangan di negara ini menjadi cabaran hebat kepada  sektor pertanian apabila bilangan penduduk Malaysia bertambah,
menyebabkan permintaan terhadap sumber makanan dan tumbuh-tumbuhan
meningkat.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, ia
berikutan pembangunan yang semakin bercambah, membabitkan banyak tanah
pertanian sehingga memaksa beberapa tanah hutan yang baru dibuka dan diterokai.

Namun pihaknya dengan bantuan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian
Malaysia (MARDI) mula merancang beberapa projek sebagai langkah penyelesaian terhadap kekurangan tanah dihadapi negara ketika ini.

“Berikutan itu, kami perlu mempelbagaikan aktiviti pertanian sebagai satu
integrasi. Kini, perancangan kami untuk memastikan dalam satu tanah pertanian
yang dimiliki, sekurang-kurangnya tiga tanaman dibuat. Maksudnya, dalam satu
tanah yang sama, mungkin boleh dapatkan hasil lebih, contohnya kelapa, jagung
atau herba,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Inovasi
MARDI 2011 di Dewan MAEPS di sini semalam.

(Sumber dipetik dari Harian Metro)

Simpanan baka asas padi mencukupi bagi penanaman semula

Pesawah tidak perlu bimbang sekiranya kawasan penanaman padi mereka terjejas akibat banjir kerana Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mempunyai bekalan baka asas tanaman itu yang mencukupi bagi tujuan penanaman semula.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Abd Shukor Abd Rahman berkata, tindakan itu sebagai persediaan bagi kawasan penanaman padi yang terjejas akibat banjir, kerana memerlukan baka asas baru untuk dibiakkan menjadi benih sah sebelum digunakan untuk membuat semaian semula selepas hasil padi sedia ada rosak ditenggelami air.

Menurutnya, bekalan baka asas dalam simpanan MARDI mencukupi sehingga dua musim ke hadapan yang boleh digunakan ketika menghadapi sebarang perubahan iklim tidak menentu, seterusnya bagi mengatasi masalah kekurangan makanan pada masa akan datang.

“Dalam setahun, kami keluarkan 250 tan bekalan baka asas dalam simpanan kami, yang digunakan jabatan pertanian untuk dibiakkan menjadi benih sah,” katanya ketika ditemui seiepas perasmian Hari Inovasi MARDI 2011 di Dewan MAEPS di sini semalam.

Beliau berkata, pihaknya mementingkan simpanan bekalan padi yang mencukupi memandangkan hasil tanaman itu adalah jaminan keselamatan makanan negara berbanding hasil tanaman bagi sumber makanan lain.

Sementara itu, sempena sambutan Hari Inovasi MARDI tahun ini, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar hadir melancarkan Geran MyMARDI InnoFund, yang ditubuhkan bagi menggalakkan penjanaan idea yang membawa kepada penemuan, penciptaan teknologi dan kaedah inovatif dalam penyelidikan, pemindahan teknologi dan operasi.

Dr Abd Shukor berkata, pihaknya menyedari keupayaan kakitangan MARDI daripada kumpulan sokongan yang mampu menjana teknologi seperti pegawai penyelidik lain yang terlatih dan berpengetahuan tinggi.

“Menerusi geran ini, kami menyediakan jumlah dana sehingga RM2 juta, dan setiap yang terpilih dalam program ini boleh menerima RM5 000 hingga RM 10 000 seorang, mengikut kepentingan dan keperluan dalam setiap inovasi dicadangkan. Pihak kami akan membuat penilaian ke atas setiap cadangan penyelidikan dihantar sebelum memilih penerima dana ini untuk digunakan bagi meningkatkan aktiviti penyelidikan mereka,” katanya.

(Sumber dipetik dari Harian Metro)

MARDI Perak Pertingkat Promosi Klon Durian

IPOH, 14 Disember – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) Perak akan mempertingkatkan lagi usaha mempromosikan klon durian yang dihasilkan MARDI ke pasaran lebih luas.

Tiga jenis klon durian MARDI ialah MDUR 78 dan MDUR 79 yang dilancarkan pada 1991 serta MDUR 88 pada 1992.

Pengarah MARDI Negeri Perak Dr Zabri Abd Wahid berkata setakat ini, kekurangan dan ketidakkonsistenan dalam promosi telah mengehadkan potensi penerimaan klon durian oleh masyarakat umum, walaupun ia telah dihasilkan hampir 20 tahun.

Beliau berkata sehingga kini, klon durian ini cuma ditanam secara kecil-kecilan di Pahang, Kedah, Perak dan Terengganu.

“Usaha telah diambil untuk mempromosikan klon durian yang dihasilkan MARDI ini secara lebih meluas kepada pekebun bagi tujuan pengkomersialan,” katanya ketika ditemui di tapak MARDI di Kuala Kangsar hari ini.

Zabri berkata ketiga-tiga baka klon itu mempunyai ciri yang lebih baik daripada induk mereka.

Sebagai contoh, beliau berkata baka MDUR 88 adalah hasil kacukan antara D24 dan D10, yang mempunyai isi lebih tebal dan tempoh matang lebih cepat.

“Klon MDUR 88 lebih cepat berbuah iaitu enam hingga tujuh tahun selepas ditanam. Ia juga mempunyai ketahanan terhadap penyakit kanker batang (phytophthora palmivora) yang lebih tinggi.

“Setakat ini, apabila kami mempromosikan durian-durian klon ini di pesta buah-buahan dan karnival, ia memang mendapat sambutan yang baik, cuma tak ramai lagi yang mengetahuinya walaupun ia telah lama di pasaran,” katanya sambil menambah anak pokok durian klon itu boleh didapati di tapak semaian MARDI pada harga RM8 setiap satu.

Beliau berkata baka durian yang dihasilkan MARDI itu juga mempunyai penarafan dan pensijilan ISO, jadi kualiti pokok dan buahnya adalah terjamin.

Katanya, 12 lagi hibrid durian dihasilkan MARDI baru-baru ini dan institut itu kini dalam proses persediaan akhir untuk melancarkannya di pasaran.

(Sumber dipetik dari Bernama)

Stesen MARDI Bakal Dinaik Taraf Sebagai Pusat Agro Pelancongan

CAMERON HIGHLANDS, 10 Disember – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhasrat menaik taraf Stesen MARDI Cameron Highlands di sini sebagai Pusat Agro-Pelancongan bagi menarik pelancong dalam dan luar negara.

Menteri berkenaan Datuk Seri Noh Omar berkata stesen itu yang terletak dua kilometer dari pekan Tanah Rata mempunyai kawasan seluas 40 hektar yang sesuai dijadikan ladang buah-buahan dan bunga-bungaan.

“Kita akan memohon bantuan daripada Kementerian Pelancongan mendapatkan peruntukan bagi tujuan itu. Kebanyakan pokok yang ada di sini tidak bermusim dan ia sama dengan apa yang ada di Eropah disebabkan keadaan cuaca di sini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Bertemu Pelanggan MARDI di Stesen MARDI di sini.

Beliau berkata stesen itu, yang menerima kira-kira 180,000 pengunjung setiap tahun, menjana pendapatan RM1.3 juta.

Antara tarikan Stesen MARDI itu adalah ladang strawberi, sayuran, bunga, muzium teh, taman Inggeris dan Pusat Informasi Teknologi. Selain itu, turut disediakan kemudahan penginapan ‘English Cottage’ dengan kadar sewa berpatutan.

(Sumber dipetik dari Bernama)

RM80 Juta Dibelanjakan Di Bawah Dana Tekno Tahun Lalu

KAJANG, 8 Disember –  Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membelanjakan kira-kira RM80 juta untuk 18 syarikat dalam pelbagai bidang di bawah projek Dana Tekno tahun lalu, kata Menterinya Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata dana tersebut disediakan kementeriannya untuk semua syarikat dan penyelidik mencipta inovasi baru bagi meningkatkan sektor pertanian negara.

“Salah satunya, syarikat Dazzling Destiny Sdn Bhd yang bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang telah membuat kajian untuk mencipta teknologi Genkimo dengan nilai RM1.5 juta.

“Genkimo adalah penemuan baru, teknologi hijau yang mesra alam yang dapat mengatasi masalah bau busuk dan lalat di ladang-ladang ternakan,” katanya kepada media selepas melancarkan teknologi itu dan merasmikan kilang syarikat terbabit, di Semenyih, di sini pada Khamis.

Noh berkata teknologi berasaskan kitar semula itu juga mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi pingat emas dan perak dalam satu pertandingan di Seoul, Korea.

Teknologi Genkimo menggunakan bahan sampingan pertanian seperti sekam padi, bahagian tumbuhan dan buah-buahan yang tidak sesuai untuk dijual bagi diproses dan dijadikan produk seperti baja, bahan minuman probiotik ternakan dan bahan nyahbau.

“Selama ini, orang yang menternak ayam akan menyebabkan orang lain marah kerana bau yang busuk dan lalat yang banyak. Tetapi dengan Genkimo, masalah tersebut akan dapat diatasi,” kata Noh.

Sementara itu, Noh berkata kementerian merancang untuk mewujudkan kilang makanan haiwan bagi mengurangkan pengimportan bahan tersebut seperti yang ditetapkan di bawah Bidang Utama Eknomi Negara (NKEA).

“Yang banyak sekali kita import ialah makanan haiwan. Apabila dah banyak import, kita tidak boleh kawal harga. Kalau dah harga makanan naik, sudah tentu harga ikan, ayam naik. Sebab itu kita merancang untuk mewujudkan kilang makanan,” katanya.

(Sumber dipetik dari Bernama)

R&D Perlu Dalam Menjayakan Industri Agromakanan

SERDANG, 6 Disember – Usaha mentransformasikan industri agromakanan sebagai sektor moden dan berteknologi tinggi perlu disokong dengan aktiviti kajian dan pembangunan (R&D) dan inovasi yang mantap, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata ini penting bagi meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos pengeluaran pertanian di negara ini.

“Kejayaan dasar agromakanan negara amat bergantung kepada usaha pengkomersilan R&D dan membangunkan produk inovasi dengan meningkatkan lagi kolobarasi R&D dengan pihak industri.

“Bagi memacu R&D yang berorentasikan pasaran, kerjasama pintar antara agensi penyelidikan kerajaan dan institusi pengajian tinggi dengan industri perlu digiatkan lagi bagi memastikan pemindahan dan pengkomersilan R&D yang lebih lancar,” katanya semasa merasmikan Hari Inovasi MARDI 2011 di sini hari ini.

Pada majlis itu Noh turut melancarkan geran MyMARDI InnoFund bernilai RM2 juta bagi menggalakkan warga MARDI menjana idea yang boleh membawa kepada penemuan dan penciptaan teknologi dan kaedah yang inovatif dalam penyelidikan, pemindahan teknologi dan operasi.

Di samping itu, beliau menyarankan supaya Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia itu dan agensi berkaitannya mencari sumber kewangan dan dana daripada sektor swasta seperti yang dilakukan oleh agensi pertanian negara luar.

Beliau turut menyampaikan 22 anugerah inovasi khas kepada warga MARDI yang telah menyumbang kepada kecemerlangan institut berkenaan.

(Sumber dipetik dari Bernama)

“MyMARDI INNOFUND” Ke Arah Mempromosi Budaya Berinovasi

Serdang, 6 Disember – Menyahut seruan kerajaan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi dalam Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah menjana inovasi terbaik yang turut diiktiraf bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah di peringkat antarabangsa.

MARDI telah memenangi dua emas dan satu anugerah khas ‘International Consumer Double Gold Award’ di pertandingan teknologi di British Invention Show (BIS) 2011, London. Selain itu, International Trade Fair – “– Ideas, Invention, New Products” (iENA) 2011, Jerman, MARDI telah memenangi satu pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa melalui 3 inovasi yang dipertandingkan.

Inovasi antibiotic sensor for poultry industry pula turut menerima anugerah ‘Women’s Inventor Association “NOVA” from Bosnia and Herzegovina’. Kejayaan kelima-lima teknologi tersebut amat membanggakan dan berjaya membuktikan inovasi yang dijana MARDI mempunyai nilai komersial. MARDI turut menyerta BioMalaysia 2011 dengan 9 inovasi dipertandingkan. Lapan inovasi telah memenangi pingat iaitu 1 pingat emas, 3 pingat perak dan 4 pingat gangsa.

Bagi menyahut seruan YAB Perdana Menteri dalam penitipan inovasi dan kreativiti dalam penjanaan teknologi yang mempunyai nilai komersial, Y.B Datuk Seri Noh Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani telah melancarkan Geran MyMARDI InnoFund di Majlis Perasmian Hari Inovasi MARDI 2011.

Geran tersebut merupakan satu inisiatif MARDI untuk menggalakkan penjanaan idea yang membawa kepada penemuan, penciptaan teknologi dalam penyelidikan yang terbuka kepada semua warga MARDI. Sebelum ini geran penyelidikan hanya dibuka kepada kumpulan professional. Namun, dengan MyMARDI InnoFund, staf bagi kumpulan sokongan juga diberi peluang yang sama.

Turut hadir ke majlis ini adalah Yang Berbahagia Dato’ Mohd Hashim bin Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani; Yang Berbahagia Dato’ Mohd Mokhtar bin Ismail, Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI dan Yang Berbahagia Datuk Dr Abd Shukor Abd Rahman Ketua Pengarah MARDI.

Sektor Pertanian Akan Diperkasa Menerusi Dasar Agro Makanan

BINTULU – Sektor pertanian negara akan diperkasakan dengan pengenalan Dasar Agro Makanan Negara dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) melalui penetapan strategi tertentu ke arah mewujudkan negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Ahli Dewan Negara, Senator Pau Chiong Ung berkata, sektor pertanian perlu berkembang maju seiring dengan sektor lain supaya pendapatan dan taraf hidup rakyat di negara ini terus meningkat.

Justeru, katanya, ini merupakan satu tanggungjawab semua untuk memastikan sektor pertanian terus berkembang, berdaya maju dan menjadi penyumbang utama kepada pendapatan dan pertumbuhan ekonomi negara. “Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sentiasa mengambil berat saranan kerajaan itu dengan memodenkan sektor pertanian yang ada dan salah satu caranya ialah melalui penggunaan teknologi terkini yang dapat meningkatkan pengeluaran dan kualiti, mengurangkan kos sekali gus meningkatkan daya saing,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap mewakili Ahli Parlimen Bintulu merasmikan Hari Mesra Pelanggan Stesen MARDI Bintulu di Medan Sentral Pusat Komersial Asyakirin di sini, semalam. Katanya, MARDI telah meningkatkan usaha menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sejak 40 tahun lalu untuk menjana teknologi serta penemuan penyelidikan yang dapat merealisasikan hasrat itu. “MARDI juga telah menjana banyak teknologi agro makanan dan telah menjadi perintis teknologi agro teknologi yang diiktiraf. Sehingga kini MARDI telah menjana dan menghasilkan pelbagai teknologi yang telah dikomersial dan dipindahkan kepada golongan sasaran,” katanya sambil menambah program itu berjalan baik dan berkesan.

Menurutnya lagi, program khidmat nasihat, latihan teknikal, usahawan bimbingan teknologi MARDI dan program anak angkat memainkan peranan aktif dalam membantu menjayakan program pemindahan teknologi supaya taraf hidup kumpulan sasar dan sosioekonomi rakyat yang terlibat dapat dipertingkatkan. “Disebabkan itu penubuhan Stesen MARDI Bintulu pada tahun 2003 diharap dapat menyumbang ke arah merealisasikan hasrat ini. “Dengan digerakkan oleh 24 pegawai dan staf lainnya di stesen ini maka aktiviti penyampaian perkara berkaitan kepada penduduk setempat akan lebih berkesan,” jelasnya.

Terdahulu, pelbagai program diadakan dalam program itu antaranya pameran teknologi, jualan biji benih, klinik usahawan, demonstrasi, randau teknologi, jualan produk usahawan dan hasil pertanian. Turut hadir, Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Abdul Shukor Abdul Rahman, Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak Wilson Nyabong Ijang, Pengarah MARDI Sarawak Mohammad Noor Adros Yahya dan Pengarah Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi Malaysia, Jamaludin Salim.

(Sumber dipetik dari The Borneo Post Online)

MARDI Atasi Masalah Harga Durian

JOHOR BAHRU – Isu lambakan durian sehingga mengakibatkan penurunan harga yang ketara, kini mampu diatasi oleh Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI). Pengarah MARDI Johor, Saniah Kormin berkata, menyedari potensi durian yang dikenali sebagai ‘raja buah’ itu, pihaknya telah melaksanakan beberapa siri penyelidikan, termasuk pembangunan varieti baharu, teknologi lepas tuai dan pengendalian durian bagi pasaran eksport.

Menurutnya, beberapa klon baharu durian seperti MDUR 78 dan MDUR 79 bagi memenuhi permintaan penanaman secara komersial dan cita rasa penggemar durian segar berjaya dihasilkan. “Pengeluaran durian dalam bentuk separa proses bukan sahaja dapat membantu mengatasi masalah lambakan dan penurunan harga, malah berupaya meningkatkan harga pasaran menerusi hasil nilai tambah yang lebih berkualiti sesuai bagi pasaran tempatan dan eksport. “Hasilan separa proses adalah dalam bentuk durian yang diproses secara minimum, durian sejuk beku, durian sejuk-dingin dan puri durian sama ada dalam bentuk sejuk beku atau sejuk dingin,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Menurutnya, pemerosesan minimum adalah kaedah yang digunakan untuk mengekalkan sifat segar buah-buahan dalam bentuk sedia. Katanya, satu daripada kaedah pemerosesan minimum ialah pembungkusan atmosfera terubah suai (MAP) yang sesuai untuk penyimpanan durian selama tiga minggu bagi memastikannya tetap berkualiti dan segar. “Durian daripada variety D24 yang mempunyai isi tebal, tekstur pejal dan halus, rasa manis, lemak dan sedikit pahit berjaya disejuk beku secara kriogenik tanpa menjejas mutunya. “Pengeksport juga tidak perlu menanggung kos pengangkutan terlalu tinggi kerana ulas-ulas durian sahaja yang dieksport. Proses sejuk beku secara kriogenik adalah kaedah terbaharu menggunakan cecair nitrogen,” katanya.

Saniah memberitahu, durian sejuk beku amat sesuai untuk eksport dan pasaran tempatan sebagai bahan mentah utama dalam pembuatan produk berasaskan durian khususnya pada luar musim. Katanya, apa yang dilakukan oleh MARDI adalah isi durian diasingkan daripada biji dengan menggunakan mesin dan kemudian dihancur menggunakan mesin penghancur. Puri durian kemudian dipaketkan, dipastur pada suhu 90 darjah celsius selama 10 minit dan kemudian disejuk beku pada suhu sekurang-kurangnya 180 celsius untuk kegunaan seterusnya.

Beliau berkata, pemprosesan puri untuk penyimpanan yang lama perlu menggunakan buah yang berkualiti supaya produk yang dihasilkan tidak terjejas rasa atau mutunya walaupun disimpan sehingga satu tahun.

(Sumber dipetik dari Utusan Online)