Program Memasyarakatkan MARDI Kuala Linggi, Melaka

Pada 9 November 2011, sebuah program Memasyarakatkan MARDI telah diadakan di stesen MARDI Kuala Linggi, Melaka.

Antara aktiviti-aktiviti utama yang dijalankan adalah mengadakan kursus dalam Teknologi Pengeluaran Tanaman Nilam dan Teknologi Dalam Pengekstrakan Minyak Pati Serta Potensi Dalam Industri.

Kursus-kursus ini telah disampaikan oleh Encik Wan Zaki bin Wan Mamat selaku Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Padi dan Tanaman Industri (RIC) serta Tuan Hj. Ahmad bin Wahab, Pegawai Penyelidik Prinsipal. Tetamu dan peserta yang menghadiri adalah seramai 24 orang, terdiri daripada usahawan, kakitangan agensi kerajaan dan pelajar Universiti di sekitar Kuala Linggi dan Melaka serta 30 orang Pegawai dan kakitangan MARDI.

Para peserta telah didedahkan dengan cara-cara semaian Nilam, penanaman serta tempoh matang boleh dituai bagi tujuan penyulingan minyak pati. Mereka juga diberi pengetahuan berkenaan teknologi penyulingan minyak pati, komponen minyak pati dan potensi minyak pati dalam industri. Selain itu, mereka turut dibawa melawat tempat seperti Rumah Pengeringan Suria, Kilang Perintis Minyak Pati, Makmal Penyulingan Berperingkat, Makmal Kawalan mutu Minyak Pati dan Kilang Perintis Pembangunan Produk.

Dasar Agro Makanan Negara

Dasar Agro Makanan Negara, yang akan dijalankan selama 10 tahun, telah diluluskan oleh Kabinet Malaysia pada 28 September 2011, dan telah menggantikan Dasar Pertanian Negara.

Dasar ini diadakan untuk menangani isu bekalan makanan di Malaysia. Dengan dasar ini, ia memberi jaminan bahawa jumlah bekalan makanan mencukupi dan juga selamat untuk dimakan di negara kita.

Selaras dengan usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi, adalah dijangka bahawa Dasar Agro Makanan Negara akan meningkatkan pendapatan bagi golongan petani serta usahawan tani. Seterusnya, ia akan membolehkan perkembangan sektor pertanian sebagai  industri yang mantap dan berdaya tahan.

Dalam Belanjawan 2012 baru-baru ini, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah membangkitkan isu Dasar Agro Makanan Negara berkenaan dengan subjek kenaikan harga bekalan makanan dan kesejahteraan rakyat Malaysia. Beliau menyatakan bahawa sejumlah RM1.1 bilion telah diperuntukkan bagi sektor pertanian sahaja.

Dengan permulaan yang memberangsangkan kepada Dasar Agro Makanan Negara, adalah diharapkan bahawa ia dapat memberi masa depan cerah untuk industri asas tani.

Untuk maklumat lanjut mengenai Dasar Agro Makanan Negara, sila klik pada pautan berikut:

Kursus Pelancongan Agroteknologi di TATML

Buat julung kalinya, Pusat Perkhidmatan Teknikal (TS) dan Taman Agro Teknologi MARDI Langkawi (TATML) telah melaksanakan kursus Pelancongan  Agroteknologi pada 1hb & 2hb Nov yang lalu, bertempat di dewan seminar TATML.

Kursus selama 2 hari ini adalah yang pertama kali diperkenalkan MARDI oleh Pusat TS. Ini bererti  agropelancongan telah menjadi  tambahan bidang  kursus di MARDI  selain dari kursus-kursus teknikal dalam bidang  teknologi  pertanian  dan makanan seperti yang biasa dianjurkan setiap tahun.

Kursus yang singkat ini telah berjaya menarik minat dan sambutan menggalakkan dari peserta yang terdiri dari pelbagai bidang kerjaya seperti guru, pensyarah, penggiat pelancongan, kaki tangan kerajaan dan sebagainya.

Seminar Dwi Mingguan Bil 16/2011

Seminar Dwi Mingguan tahun 2011 siri keenambelas akan diadakan pada 4 November 2011 (8.30 pagi) bertempat di Bilik Taklimat Bangunan Direktorat Blok A, Ibu Pejabat MARDI Serdang.

Berikut adalah tajuk pembentangan dan nama pembentang:

Tajuk pembentangan 1 :
PELAKSANAAN AZAM TANI MARDI
Pembentang : Tn. Hj. Abu Hassan Hj. Ishak (Pusat Promosi & Pembangunan Teknologi)

Tajuk pembentangan 2 :
INTELLECTUAL PROPERTY
Pembentang : En. Gameladha Nasiriffin Ariffin (IP Rights(M) Sdn. Bhd.)

Semua di jemput hadir.

MARDI Cipta Sejarah Kemenangan Inovasi di IENA

Buat pertama kalinya, inovasi MARDI telah berjaya meraih Anugerah Khas Women’s Inventor Association “NOVA” dari Bosnia Herzegovina, di pertandingan inovasi IENA, Nuremberg, Germany yang berlangsung dari 27-30 Oktober 2011. Kemenangan ini merupakan rekod baru yang berjaya dicipta oleh penyelidik MARDI.

Butiran terperinci kemenangan inovasi MARDI adalah seperti berikut:

  • Antibiotic Sensor for poultry industry (Dr. Faridah Salam, Pusat Bioteknologi) – pingat emas dan anugerah khas Women’s Inventor Association “NOVA” dari Bosnia Herzegovina
  • Pesticide Risk Assessment Tools (En. Lim Ah Hong, Pusat Sumber Strategik) – pingat perak
  • Mobile Cocopeat & Coir Fiber Extractor (Dr. Md Akhir Hamid, Pusat Mekanisasi & Automasi) – pingat gangsa

Memasyarakatkan MARDI Sungai Baging

Oktober 2011 – Satu sesi penerangan tentang penghasilan baja organik (kompos), tanah campuran dan tanaman fertigasi telah diadakan di Stesen MARDI Sungai Baging, Pahang.

Seramai 40 orang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Sungai Baging serta 7 orang guru pengiring bersama pengetua telah menghadiri sesi tersebut.

Para peserta telah diberi pendedahan tentang:

  • pemprosesan baja organik daripada sisa kumbahan biri-biri
  • cara-cara membuat tanah campuran untuk semaian anak pokok
  • cara-cara mengambil keratan untuk semaian anak pokok
  • diberi penerangan tetnag tanaman fertigasi yang terdapat di stesen