Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia

Sebenarnya bukanlah susah hendak mewujudkan taman dapur atau taman boleh dimakan (edible garden). Maklumat mengenai taman dapur pun mudah dicari dan berlambak lambak dalam internet, bergantung kepada diri sama ada hendak atau tidak mengusahakannya.

Bersesuaian dengan panggilannya, taman ini mengandungi tumbuhan yang boleh dimakan seperti sayur-sayuran, ulam-ulaman dan pokok herba. Kebiasaannya, pokok yang ditanam adalah tumbuhan berjangka pendek, iaitu hidup dalam tempoh satu hingga enam bulan.

Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai taman dapur,  ikutilah temu bual berikut dengan Timbalan Pengarah Program Agronomi dan Sistem Pengeluaran, Pusat Penyelidikan Hortikultur MARDI Serdang, Dr. Zabedah Mahmood.

Apakah yang dimaksudkan dengan taman dapur?
Taman dapur merupakan pendekatan reka bentuk taman yang menggabungkan penggunaan pelbagai jenis tanaman edible seperti sayur-sayuran, rempah ratus, ulam-ulaman, herba dan buah-buahan, dengan tanaman hiasan atau bunga-bungaan.

Taman dapur edible dapat menyumbang kepada keperluan dapur, terutamanya untuk tujuan masakan dan makanan kepada keluarga serta dapat menjimatkan kos perbelanjaan. Di persekitaran rumah, taman dapur boleh dibina sama ada secara berasingan di satu sudut atau digabungkan dengan pelbagai jenis tanaman berbunga.

Bagaimanakah cara mewujudkan taman dapur?
Taman dapur yang menarik dan berfungsi mestilah direka bentuk dengan menggabungkan 70 peratus sayur-sayuran, ulam-ulaman, buah-buahan dan rempah ratus, yang mempunyai jangka hayat lama serta mudah diurus, seperti serai, daun kari, limau purut, cekur manis dan ulam-ulaman seperti tenggek burung dan gajus, dengan 30 peratus sayur sayuran yang dituai hanya sekali seperti sawi bayam dan salad.

Gubah kedudukan tumbuh-tumbuhan supaya serasi dengan ruang dan persekitaran halaman rumah. Jika ruang agak terhad, tanaman buah-buahan perlu dihadkan kepada pokok renek seperti betik, jambu batu atau pisang. Pisang merupakan tanaman popular kerana selain buah, daun pisang boleh diguna untuk membungkus pelbagai juadah seperti nasi lemak, ikan bakar dan pelbagai kuih muih.

Apakah baja sesuai digunakan untuk memastikan pokok sayur-sayuran yang ditanam subur? Adakah sisa dapur seperti kulit bawang, kulit kentang, perut ikan dan sebagainya, sesuai dijadikan baja?
Kedua-dua baja organik dan kimia sesuai digunakan untuk taman dapur. Bagaimanapun anda boleh membuat baja organik sendiri menggunakan sisa buangan dapur, sisa tanaman dan daun kering. Anda juga boleh menghasilkan ‘vermicompost’ atau kompos cacing daripada sisa buangan dapur. Cacing khas untuk menghasilkan kompos ini boleh dipelihara dalam bekas. Sisa buangan hijau seperti tangkai daun, kulit kentang, sisa serbuk teh, kulit buah-buahan atau lebihan buah-buahan, sesuai untuk makanan cacing bagi menghasilkan kompos cacing. Elakkan buangan berlemak kerana ia tidak sesuai untuk cacing. Selain dari kompos cacing, sisa dapur sepert kulit bawang dan perut ikan boleh digunakan untuk membuat kompos.

Bagaimanakah cara hendak menghapuskan serangga perosak di taman dapur seperti teritip, semut, siput babi dan banyak lagi?
Teritip boleh dikawal menggunakan minyak putih buatan sendiri. Kaedahnya seperti berikut:

  • Tuangkan satu cawan minyak masak dan beberapa titik sabun basuh dalam botol plastic 1 L
  • Tambahkan 2 cawan air dan goncang sampai sebati
  • Tuangkan 250 mL ke dalam bekas 9 L dan kacau
  • Semburkan pada atas dan bawah daun yang terkena serangan

Masalah semut pula boleh dikawal dengan cara menaburkan sedikit baking soda di sekeliling pokok; menabur campuran tepung gandum dan bedak bayi di sekeliling tanaman atau menyembur campuran satu bahagian air dan satu bahagian cuka pada pokok yang diserang.

Siput babi juga boleh dikawal tanpa menggunakan racun. Kaedah paling mudah ialah mengutip dan memasukkan siput babi ke dalam baldi yang mengandungi air garam atau air sabun. Pastikan anda kutip sebanyak mungkin siput dewasa sebelum siput itu bertelur. Elakkan menabur garam pada tanaman anda kerana ia boleh menjejas kesuburan tanah.

Adakah sebarang cara untuk mewujudkan racun serangga yang mesra alam supaya sayur-sayuran boleh dimakan tanpa ragu?
Racun mesra alam boleh dibeli di pasar raya atau dibuat sendiri. Kebanyakan racun seperti BT adalah spesifik pada serangga tertentu seperti ulat gulung daun dan perosak bunga (flower moth).

Untuk ulat pemakan daun, semburan bawang dan cili padi didapati berkesan. Kaedahnya agak mudah seperti berikut: Bahan-bahan seperti cili padi (15 biji), bawang besar (4 labu), bawang putih (2 labu) dikisar dengan 2 Liter air sabun.
Tapis dan masukkan air 500 mL dan boleh terus disembur pada tanaman.

Bahan untuk kompos
Tidak semua bahan buangan boleh dijadikan bahan untuk kompos. Bahan yang biasa digunakan adalah sisa buah-buahan dan sayuran, kulit telur, rumput atau pokok liar menjalar yang dicabut, daun-daun pokok , serdak kopi yang telah ditapis, uncang teh, jerami dan yang berkaitan.

Antara bahan buangan yang perlu dielakkan:

  • Rumput atau rumpai yang terkena racun rumpai
  • Tumbuhan beracun seperti Poison Ivy
  • Najis binatang peliharaan atau ternakan kerana ia mengandungi pathogen yang sukar diuraikan
  • Tulang kerana ia tidak boleh diuraikan
  • Semua jenis daging termasuk ikan dan ayam
  • Susu, keju dan hasil tenusu yang lain

(Sumber dipetik dari Anjung Seri)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: