Mesin kuih ros hasilkan 1,000 keping sejam

Sebut sahaja kuih ros pasti ramai di antara kita yang dapat membayangkan bagaimana bentuknya serta kerangupannya sehingga mernbuatkan individu itu akan mengulangi makan. Bentuk seperti bunga membuatkannya dikenali sebagai kuih ros, malah ada di antara kita menyebutnya sebagai kuih loyang atau kuih goyang. Seperti diketahui umum, pemprosesannya perlu dilakukan dengan menggunakan tenaga manusia berikutan ia perlu digoreng dalam minyak panas selepas acuannya dicelup dengan bancuhan tepung pillhan.

Mudah! Itulah pengalaman yang dapat dirasai usahawan dengan ciptaan mesin kuih ros dan dipasarkan sejak 2006 di mana pengeluaran dapat ditingkatkan seiring kuantiti dikehendaki. Menyedari permintaan terhadap kuih ros semakin meningkat, maka Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mengambil inisiatif mencipta mesin kuih ros sebagai mekanisme bagi memudahkan usahawan.

Rekaan dan ciptaan mesin kuih ros mengambil masa setahun di mana ia mula dikembangkan sekitar 2005. Ketika itu, mereka perlu menyiapkan prototaip yang berfungsi dan diguna serta diketengahkan kepada golongan usahawan. Bagaimanapun, untuk menonjolkan produk tersebut supaya ia boleh dikomersialkan dengan menggunakan mesin, terpaksa mengambil masa dan melambatkan lagi promosi, tambahan pula perlu memberi penerangan kepada usahawan. Pegawai Penyelidik MARDI, Samsudin Ahmad berkata, hasil ciptaan itu sebanyak empat hingga lima unit mesin boleh dijual kepada usahawan dalam masa setahun dan ia dilihat sangat membantu dari segi peningkatan kualiti kapasiti pengeluaran serta mengurangkan kos produksi.

“Dari segi pengeluaran, tenaga pekerja dapat dikurangkan bagi setiap pemprosesan kuih ros. Dahulu, pengusaha terpaksa menggunakan tiga hingga empat orang untuk menghasilkan jumlah yang banyak, tetapi kini hanya satu atau dua orang diperlukan. Pemprosesan menggunakan mesin kuih ros itu mampu menghasilkan sebanyak 1,000 keping setiap jam berbanding jika menggunakan tenaga manusia, purata 100 keping sahaja dapat diproses bagi setiap pekerja,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di MARDI.

INDUSTRI SNEK MEMBANGUN
Menurut Samsudin, mesin kuih ros itu diciptakan berdasarkan kepada permintaan daripada industri snek itu sendiri, yang dilihat semakin membangun dengan pesat. Katanya, kuih tradisional itu tidak hanya diminati ketika musim perayaan semata-mata, tetapi juga pada bila-bila masa dan ia juga sesuai dijadikan kudapan kepada orang ramai. Samsudin berkata, tahap perkembangan kuih itu agak terhad sekiranya tetap tergolong dalam kelompok tradisional berbanding sekiranya ia konvensional tetapi permintaan tinggi dan ia berpotensi untuk dikembangkan.

“Permintaan produk dilihat semakin meningkat dari semasa ke semasa apabila
orang ramai menginginkannya dan ia menjadi salah satu faktor mengapa usahawan terpaksa menggunakan mesin kuih ros itu. Sebagai langkah membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS), MARDI mengambil inisiatif mencipta mesin kuih ros selain daripada yang lain,” katanya. Menurut Samsudin, antara mesin lain yang turut dibangunkan adalah rempeyek,
cakar ayam, sate, lemang, bahulu, rotan dan pelbagai lagi, malah ada di antaranya turut melibatkan agensi luar.

EKSPORT LUAR NEGARA
Dengan menampilkan mesin kuih ros itu kepada usahawan, MARDI berharap supaya pasaran snek buatan tempatan dapat dikembangkan ke luar negara dan tidak hanya tertumpu dalam Malaysia. Samsudin berkata, hakikatnya produk
yang ditampilkan kebanyakan usahawan mampu menembusi pasaran luar negara sekiranya ia dibungkus dengan cara baik supaya ketahanan snek itu bertahan sehingga tiga hingga enam bulan.

“Percubaan mengeksport snek kita ke pasaran luar bergantung kepada
pembungkusan berikutan selain daripada mengekalkan ketahanan makanan
itu, ia juga melambangkan imej produk kita. Bagaimanapun, teknologi yang
tercipta dapat membantu meningkatkan kualiti produk dari segi daya tahan serta menjaga kualiti pengeluaran supaya kurang berminyak,” katanya.

Dia berkata, kuih bunga ros itu perlu dilakukan pada tahap yang optimum, di
mana suhu perlu disesuaikan sehingga produk dikeluarkan konsisten dari segi
bentuk warna dan tekstur. Keseragaman itu membolehkan produk diketengahkan di samping melambangkan imej tertentu.

PENYELENGGARAAN
Samsudin menyatakan bahawa pengubahsuaian dan penambahbaikan boleh dilakukan pada mesin bagi keperluan usahawan, tetapi ia perlu mempunyai keselarasan dan terdapat formulasi biasa yang perlu digunakan.

“Mesin kuih ros sedia ada dan yang digunakan usahawan itu mempunyai panel
terlantik dan teknologi dikeluarkan hanya kepada mereka, malah ia mempunyai
jaminan selama setahun. Pengusaha perlu memastikan kerja penyelenggaraan dan pembaikan boleh dilakukan panel terlantik sebaliknya kerosakan yang mungkin berlaku tidak hanya bergantung kepada penggunaan semata-mata,” katanya.

Samsudin berkata sebahagian daripada komponen mesin itu periu
mendapat perhatian dan penyelenggaraan sempurna, malah ada yang perlu diganti. Dia berkata, salah satu komponen adalah hos kerana ia mudah berada dalam keadaan panas dan berminyak, di mana jangka hayat maksimum adalah setahun setengah, dan penyelenggaraan perlu dilakukan setiap enam bulan.

TENAGA MANUSIA
Samsudin berkata, mesin kuih ros itu terbahagi kepada dua versi, iaitu automatik dan separa automatik, supaya ia bersesuaian untuk digunakan usahawan IKS, tetapi penyelarasannya diambil kira untuk menentukan produk.
Katanya, bagi mesin automatik pengguna hanya perlu menetapkan pergerakan yang diinginkan dan ia akan melaksanakan ‘tugas’ mengikut arahan. Sebaliknya, mesin separa automatik tetap memerlukan tenaga manusia bagi menggerakkannya sehingga peringkat terakhir.

“Daripada proses awal sehingga akhir, operator perlu mengawasi pergerakannya
kerana setiap proses ditentukan olehnya, di mana ia melibatkan pergerakan atas,
bawah, depan, belakang, kiri dan kanan,” katanya.

Menurutnya, mesin kuih ros itu ibarat bertindak mengikut arahan kerana setiap
apa yang ditekan, itulah proses yang dilakukan, dan kos yang diperlukan hanya
RM16,000 sahaja. Dia berkata, berbeza dengan mesin automatik, peruntukan diperlukan lebih banyak sehingga mencecah RM32,000 dan lengkap dengan alat menggoreng sehingga produk dikeluarkan.

“Proses mengautomasikan pemprosesan produk yang menjadikan mesin automatik dijual dengan harga yang mahal. Mesin ini lebih digalakkan dalam
bentuk perusahaan kilang dan memerlukan persekitaran seperti suhu bilik
tetapi ia tidak sesuai diletakkan dalam rumah kerana memerlukan bekalan elektrik yang tinggi,” katanya.

CABARAN DIHADAPI
Meskipun penggunaan mesin kuih ros itu mampu menghasilkan 16 keping kuih
setiap 50 saat sekali goreng, tetapi jika menggunakan cara manual, urutannya
sama, hanya ia perlu dijaga sendiri.

Samsudin berkata, ketika ciptaan dilakukan, cabaran yang dihadapi adalah
penggunaan tepung dalam proses kuih itu, kerana tidak semua jenis tepung boleh digunakan, dan kajian terpaksa dilakukan untuk menghubungkaitkan dengan sains makanan sehingga mendapat jalan tengah.

“Kita melihat mesin ini lebih sesuai digunakan oleh usahawan yang telah
menjalankan perniagaan snek tetapi menghadapi masalah produktiviti rendah
sedangkan permintaan meningkat dan golongan ini perlu menggunakan
mekanisme disediakan. Sekiranya mereka menambah tenaga kerja tidak mendatangkan masalah, tetapi tahap keuntungan dan konsistensi akan
terjejas,” katanya.

Dia berkata, penambahbaikan juga boleh dilakukan terhadap mesin itu di
mana produk dihasilkan juga dapat dipelbagaikan dengan penambahan bijirin
dan sebagainya, ketika pemprosesan dilakukan.

(Sumber dipetik dari Sinar Harian)

Taman Dapur

Sebenarnya bukanlah susah hendak mewujudkan taman dapur atau taman boleh dimakan (edible garden). Maklumat mengenai taman dapur pun mudah dicari dan berlambak lambak dalam internet, bergantung kepada diri sama ada hendak atau tidak mengusahakannya.

Bersesuaian dengan panggilannya, taman ini mengandungi tumbuhan yang boleh dimakan seperti sayur-sayuran, ulam-ulaman dan pokok herba. Kebiasaannya, pokok yang ditanam adalah tumbuhan berjangka pendek, iaitu hidup dalam tempoh satu hingga enam bulan.

Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai taman dapur,  ikutilah temu bual berikut dengan Timbalan Pengarah Program Agronomi dan Sistem Pengeluaran, Pusat Penyelidikan Hortikultur MARDI Serdang, Dr. Zabedah Mahmood.

Apakah yang dimaksudkan dengan taman dapur?
Taman dapur merupakan pendekatan reka bentuk taman yang menggabungkan penggunaan pelbagai jenis tanaman edible seperti sayur-sayuran, rempah ratus, ulam-ulaman, herba dan buah-buahan, dengan tanaman hiasan atau bunga-bungaan.

Taman dapur edible dapat menyumbang kepada keperluan dapur, terutamanya untuk tujuan masakan dan makanan kepada keluarga serta dapat menjimatkan kos perbelanjaan. Di persekitaran rumah, taman dapur boleh dibina sama ada secara berasingan di satu sudut atau digabungkan dengan pelbagai jenis tanaman berbunga.

Bagaimanakah cara mewujudkan taman dapur?
Taman dapur yang menarik dan berfungsi mestilah direka bentuk dengan menggabungkan 70 peratus sayur-sayuran, ulam-ulaman, buah-buahan dan rempah ratus, yang mempunyai jangka hayat lama serta mudah diurus, seperti serai, daun kari, limau purut, cekur manis dan ulam-ulaman seperti tenggek burung dan gajus, dengan 30 peratus sayur sayuran yang dituai hanya sekali seperti sawi bayam dan salad.

Gubah kedudukan tumbuh-tumbuhan supaya serasi dengan ruang dan persekitaran halaman rumah. Jika ruang agak terhad, tanaman buah-buahan perlu dihadkan kepada pokok renek seperti betik, jambu batu atau pisang. Pisang merupakan tanaman popular kerana selain buah, daun pisang boleh diguna untuk membungkus pelbagai juadah seperti nasi lemak, ikan bakar dan pelbagai kuih muih.

Apakah baja sesuai digunakan untuk memastikan pokok sayur-sayuran yang ditanam subur? Adakah sisa dapur seperti kulit bawang, kulit kentang, perut ikan dan sebagainya, sesuai dijadikan baja?
Kedua-dua baja organik dan kimia sesuai digunakan untuk taman dapur. Bagaimanapun anda boleh membuat baja organik sendiri menggunakan sisa buangan dapur, sisa tanaman dan daun kering. Anda juga boleh menghasilkan ‘vermicompost’ atau kompos cacing daripada sisa buangan dapur. Cacing khas untuk menghasilkan kompos ini boleh dipelihara dalam bekas. Sisa buangan hijau seperti tangkai daun, kulit kentang, sisa serbuk teh, kulit buah-buahan atau lebihan buah-buahan, sesuai untuk makanan cacing bagi menghasilkan kompos cacing. Elakkan buangan berlemak kerana ia tidak sesuai untuk cacing. Selain dari kompos cacing, sisa dapur sepert kulit bawang dan perut ikan boleh digunakan untuk membuat kompos.

Bagaimanakah cara hendak menghapuskan serangga perosak di taman dapur seperti teritip, semut, siput babi dan banyak lagi?
Teritip boleh dikawal menggunakan minyak putih buatan sendiri. Kaedahnya seperti berikut:

  • Tuangkan satu cawan minyak masak dan beberapa titik sabun basuh dalam botol plastic 1 L
  • Tambahkan 2 cawan air dan goncang sampai sebati
  • Tuangkan 250 mL ke dalam bekas 9 L dan kacau
  • Semburkan pada atas dan bawah daun yang terkena serangan

Masalah semut pula boleh dikawal dengan cara menaburkan sedikit baking soda di sekeliling pokok; menabur campuran tepung gandum dan bedak bayi di sekeliling tanaman atau menyembur campuran satu bahagian air dan satu bahagian cuka pada pokok yang diserang.

Siput babi juga boleh dikawal tanpa menggunakan racun. Kaedah paling mudah ialah mengutip dan memasukkan siput babi ke dalam baldi yang mengandungi air garam atau air sabun. Pastikan anda kutip sebanyak mungkin siput dewasa sebelum siput itu bertelur. Elakkan menabur garam pada tanaman anda kerana ia boleh menjejas kesuburan tanah.

Adakah sebarang cara untuk mewujudkan racun serangga yang mesra alam supaya sayur-sayuran boleh dimakan tanpa ragu?
Racun mesra alam boleh dibeli di pasar raya atau dibuat sendiri. Kebanyakan racun seperti BT adalah spesifik pada serangga tertentu seperti ulat gulung daun dan perosak bunga (flower moth).

Untuk ulat pemakan daun, semburan bawang dan cili padi didapati berkesan. Kaedahnya agak mudah seperti berikut: Bahan-bahan seperti cili padi (15 biji), bawang besar (4 labu), bawang putih (2 labu) dikisar dengan 2 Liter air sabun.
Tapis dan masukkan air 500 mL dan boleh terus disembur pada tanaman.

Bahan untuk kompos
Tidak semua bahan buangan boleh dijadikan bahan untuk kompos. Bahan yang biasa digunakan adalah sisa buah-buahan dan sayuran, kulit telur, rumput atau pokok liar menjalar yang dicabut, daun-daun pokok , serdak kopi yang telah ditapis, uncang teh, jerami dan yang berkaitan.

Antara bahan buangan yang perlu dielakkan:

  • Rumput atau rumpai yang terkena racun rumpai
  • Tumbuhan beracun seperti Poison Ivy
  • Najis binatang peliharaan atau ternakan kerana ia mengandungi pathogen yang sukar diuraikan
  • Tulang kerana ia tidak boleh diuraikan
  • Semua jenis daging termasuk ikan dan ayam
  • Susu, keju dan hasil tenusu yang lain

(Sumber dipetik dari Anjung Seri)

Malaysia International Commodities Conference and Showcase (MICCOS) 2011

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan menganjurkan Malaysia International Commodities Conference and Showcase (MICCOS) 2011 pada 28 hingga 30 Oktober 2011, bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS).

Acara yang diadakan setiap dua tahun sekali ini akan dirasmikan oleh Y.A.B. Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri pada jam 9.00 pagi, Sabtu, 29 Oktober 2011.

MICCOS 2011 dengan temanya “Menjana Kekayaan Melalui Inovasi” akan mempamerkan pelbagai produk sektor perladangan dan komoditi negara meliputi minyak sawit, kayu-kayan, getah, koko, lada, tembakau dan kenaf.  Sektor ini menyediakan pelbagai peluang perniagaan yang boleh dimanfaatkan oleh semua.

Pelbagai aktiviti menarik akan dianjurkan sempena MICCOS 2011, termasuk:

  • Pameran produk berasaskan komoditi dengan tumpuan kepada penghasilan produk bernilai tambah tinggi melalui penyelidikan dan inovasi dari peringkat huluan hingga hiliran;
  • Seminar-seminar mengenai pembangunan sektor komoditi dengan tumpuan kepada aspek pemasaran, alam sekitar, keusahawanan dan pemindahan teknologi yang melibatkan peneraju industri komoditi tempatan serta antarabangsa; dan
  • Program pembangunan kerjaya (termasuk temuduga terbuka), aktiviti pemadanan perniagaan dan jualan produk-produk komoditi oleh usahawan Enterpris Kecil dan Sederhana (EKS).