Mula tanam cili angkasa

PUTRAJAYA: Cili angkasa yang diberi nama MC 11 daripada biji benih, dibawa pulang dari Stesen Angkasa Antarabangsa ISS. Ia dipercayai lebih berkualiti serta tahan daripada serangan penyakit dan bakal dihasilkan pada akhir tahun ini.

Sebanyak 100 gram atau 20 000 biji benih dari ISS itu adalah daripada baka cili tempatan, yang menerima pendedahan persekitaran mikrograviti dan radiasi angkasa selama tiga bulan melalui program Space Seed.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata program penghantaran biji benih ke angkasa itu membabitkan kerjasama dengan Agensi Penerokaan Angkasa Jepun (JAXA).

Menurutnya, biji benih yang dibawa balik ke bumi pada 1 Jun lalu itu, kini menjalani ujian pemerhatian percambahan di tapak semaian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Serdang. Ujian ini menunjukkan perkembangan baik di mana kesan pendedahan radiasi angkasa dipercayai menjadikan biji benih itu lebih tahan penyakit, katanya pada majlis pelancaran sambutan ulang tahun Program Angkasawan Negara Ke 4 (Supan 4) di sini semalam.

Hadir sama adalah Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fadillah Yusof; Ketua Setiausaha Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Madinah Mohamad; Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr Mustafa Din Subari; Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Abd Shukor Abd Rahman, dan Pengarah Kibo Utilization Office For Asia JAXA, Shigeki Kamigaichi.

(Sumber dari Harian Metro)

White Champaca – Memorial Lawatan Timbalan Ketua Setiausaha

Sempena mesyuarat Bahagian Pemantauan Projek Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) di City Bayview Langkawi baru-baru ini, YBhg. Dato’ Dr. Baharom bin Jani, Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) MOA bersama ahli-ahli mesyuarat, telah melakukan lawatan kerja ke Taman Agro Teknologi MARDI Langkasi (TATML) pada 12 Oktober lalu. Ini merupakan lawatan kedua beliau ke TATML selepas lawatan pertama mengiringi Ketua Setiausaha dua tahun lalu.

Lawatan selama 4 jam yang juga turut dihadiri oleh Jawatankuasa MASMARDI dan Pengarah MARDI Negeri Kedah telah disusunatur oleh pengurusan TATML dengan penyampaian taklimat aktiviti taman, sesi lawatan ke persekitaran ladang, penanaman pokok oleh YBhg. TKSU dan berakhir dengan jamuan ringan di dewan terbuka TATML. Sebagai memorial kepada lawatan TKSU ini, sebatang pokok chempaka (Michelia alba) dipilih untuk ditanam oleh YBhg. TKSU.

Secara keseluruhannya, beliau amat berpuashati dengan perjalanan aktiviti TATML di samping memberi beberapa pandangan sebagai penambahbaikan  demi masa hadapan TATML. Antara saranan beliau adalah supaya TATML menggalakkan  pihak swasta diberi peluang menyertai iklan berbayar sebagai sebahagian pendapatan TATML.

Program MSM Bengkel Usahawan Muadzam Di Luar Dugaan

Satu bengkel anjuran MARDI melalui Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi (PT) dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia, iaitu Bengkel Peluang Keusahawanan Dalam Bidang Pertanian dan Industri Asas Tani bagi Masyarakat Muadzam telah diadakan pada 20 Oktober di stesen MARDI Muadzam Shah.

Bengkel yang pada asalnya untuk anggaran 100 usahawan telah dihadiri oleh hampir 200 peserta, yang membuatkan dewan seminar sesak. Malah peserta dari sekitar bandar Rompin, Tun Razak, dan Pekan turut hadir.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Dato’ Maznah Bt Mazlan yang merasmikan bengkel, amat terharu dan memberi pujian yang tinggi terhadap MARDI, khasnya kepada Ketua Pengarah MARDI Y.Bhg. Datuk Dr Abd Shukor Abd Rahman kerana MARDI sentiasa prihatin terhadap warga Muadzam Shah. Beliau juga mahukan bengkel siri kedua dan lanjutan diadakan kelak.

Dari maklumbalas yang diterima, ternyata para peserta amat berpuashati dan banyak menerima ilmu dari syarahan yang diberi oleh MARDI dan pihak TEKUN.

Daya Maju Industri Hortikultur Diperkasakan

Melaka, 18 Oktober – Persidangan Kebangsaan Hortikultur 2011 telah dirasmikan oleh Y.B Datuk Chua Tee Yong, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Seramai 220 orang penyelidik daripada pelbagai institusi dan syarikat swasta telah hadir bagi meningkatkan pengetahuan dalam bidang keusahawanan dalam aktiviti upstream.

Selain itu, Persidangan ini akan menjadi medan utama bagi para peserta untuk membentuk jalinan kerjasama dan perhubungan dalam pelbagai projek penyelidikan hortikultur pada masa akan datang. Dengan kehadiran lima jemputan pakar hortikultur dari luar negara, persidangan ini akan mampu membentuk satu prosa untuk memperkasakan daya maju industri hortikultur.

Kejayaan penganjuran ini adalah daripada kerjasama Jabatan Pertanian, FAMA, FELDA dan juga TFNet. Dengan bertemakan ”Malaysian Horticulture : Enhancing Production, Expanding Market”, amat bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memaju ekonomi negara melalui sektor pertanian.

Bersempena dengan majlis ini juga, sebuah buku terbitan MARDI bertajuk ‘Penyakit Utama Sayur-sayuran di Malaysia’ telah dilancarkan. Buku tersebut penuh dengan informasi mengenai pelbagai penyakit utama sayu-sayuran yang ditulis oleh tenaga pakar MARDI. Ianya dijangka dapat memberi manfaat dan boleh dijadikan rujukan tepat untuk membantu para petani di negara ini. Ianya ditulis oleh Dr. Mhamad Roff dan En. Jamaludin Salim dari MARDI dan juga En. Wu Boau Chyuan dari Bayer Cropscience.

Turut hadir adalah Y.B Datuk Perumal a/l Raju, Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pembangunan Desa & Pertanian Melaka; Yang Hormat Dato’ Dr. Masri b. Mohamad, Timbalan Ketua Pengarah (Pemindahan dan Pengkomersilan Teknologi); Mr Herbert Dittmor, Pengarah Urusan Bayer Cropscience Sdn Bhd.; dan Yang Mulia Tengku Malik b. Tengku Maamun, Pengerusi Jawatankuasa Induk Persidangan.