Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia

oleh Asfaliza Ramli dan Marzukhi Hashim

Pengenalan
Beras wangi bukanlah segmen utama dalam pengeluaran beras negara yang kini memcecah 67% tahap sara diri tetapi permintaan terhadap beras wangi  semakin meningkat dari semasa ke semasa hingga mencecah 200,000 ton setahun. Di antara  beras wangi yang diimport ialah beras wangi lembut (Jasmine type) yang kebanyakannya diimport dari Thailand dan beras wangi peroi (Basmathi type) yang kebanyakan dari Pakistan atau India. Nilai import bagi kedua- dua jenis beras ini mencecah  RM500juta setahun.

Beras wangi  boleh dikelaskan kepada beberapa jenis seperti lembut, melekit, berketul dan peroi.  Kebanyakan pengguna di Malaysia menggemari beras wangi yang diimport dari negara jiran seperti Thailand, Kemboja dan Vietnam.   Fenomena ini mungkin disebabkan oleh  kurangnya beras wangi tempatan di pasaran.   Harga beras wangi  jauh lebih tinggi daripada beras biasa, iaitu sekitar RM4.50 hingga RM6.00 sekilogram berbanding dengan beras biasa iaitu sekitar RM2.70 hingga RM3.20 sekilogram.

Varieti padi wangi MARDI
MARDI telah mengisytiharkan dua varieti padi wangi iatu MRQ 50 dan MRQ 74. Padi wangi MRQ 50 telah diisytiharkan pada 1999.  Ia mempunyai sifat beras yang panjang dan tekstur nasinya menyerupai Basmathi.  Namun begitu, potensi hasilnya hanya sekitar 3.0-3.5 tan/ha dengan pulangan mengilang yang rendah, iaitu dengan perolehan berat kepala sekitar 65-75% sahaja.  Untuk menambahbaikkan kedua-dua ciri ini, MARDI telah menghasilkan MRQ 74.  Varieti ini telah diisytiharkan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia, di Stesen MARDI Seberang Perai pada 5 Februari 2005 dengan memberi nama “Maswangi”. MRQ74 (Maswangi) mempunyai karakter yang menyerupai  beras wangi Basmathi dan kajian  menunjukkan  ianya tinggi kandungan GABA (Gamma Amino Butyric Acid) yang terbukti boleh mengurangkan stress bagi orang yang memakan. GABA merupakan agen penenang semulajadi kepada otak manusia, justeru itu ia membantu dalam  proses rehat dan kurangkan tekanan.

Selain GABA, Maswangi juga mempunyai nilai Glycemic Index (GI) yang rendah yang sangat sesuai dimakan oleh pengidap penyakit kencing manis.  Nilai ini merujuk kepada proses kadar penukaran karbohidrat kepada glukosa yang lambat dan hasilnya pesakit tidak akan mengalami kenaikan mendadak kandungan glukosa selepas sajian nasi.  Nilai GI bagi beras biasa ialah di sekitar 80 dan beras pulut 100 tetapi Maswangi mempunyai nilai di sekitar 40 sahaja.

Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kangkung di Kelantan telah diberi lesen oleh MARDI untuk mengeluarkan beras Maswangi secara biasa manakala PPK Langkawi mengeluarkan beras Maswangi secara organik. Kawasan penanaman beras wangi disasarkan ke kawasan luar jelapang padi utama yang selalunya tiada sistem pengairan cekap dan hanya dibantu oleh punca air dari sungai dan empangan kecil.  Kebelakangan ini,  pemacu dari pihak swasta telah menunjukkan minat dengan pengeluaran secara komersil padi wangi tempatan. Langkah ini pastinya membuka peluang kepada petani di luar jelapang meningkatkan pendapatan isirumah.

Padi wangi MRQ 76 merupakan vareiti padi wangi baru yang sedang dalam proses penilaian. Morfologinya berbeza dari MRQ 50 dan Maswangi di mana ianya lebih tinggi berbanding kedua-duanya.  Tempoh matang di sekitar 116 hari menyamai MR 219 (varieti padi biasa) tetapi lebih awal berbanding Maswangi (125 hari).   Kualiti nasi yang wangi dan lembut menyerupai nasi beras jasmine-type dan ciri ini digemari oleh rakyat Malaysia berketurunan Cina.  Varieti ini telah diuji di peringkat penyesuaian setempat dan memberikan purata hasil di sekitar 5.5 tan sehektar

Pengeluaran padi wangi memerlukan satu aliran kerja yang komprehensif bagi memastikan ketulenan benih dan juga beras yang dikilang.  Penanam dan pengilang  perlulah ‘dedicated’ supaya ianya tidak bercampur dengan padi biasa semasa menanam, menuai dan mengilang. Ini bermaksud perlu adanya “dedicated” ladang pengeluaran bijibenih dan “dedicated” kilang memproses beras wangi, lagi-lagi jika untuk tujuan tanaman secara organik. Pihak kerajaan juga telah memainkan peranan dalam memajukan lagi pengeluaran beras wangi negara, di bawah program ‘Economic Transformation Programme (ETP), NKEA telah meluluskan 1 projek iaitu Projek EPP 9: Pengeluaran padi wangi di luar jelapang padi (Production of Fragrant rice in non-granary areas) dengan penglibatan pelaburan dari sektor swasta dan awam.

EPP9: Pengeluaran padi wangi di luar jelapang padi
Pihak NKEA telah melantik MARDI untuk mengetuai projek ini. Objektifnya ialah untuk meningkatkan pengeluaran dan memasarkan beras wangi tempatan dengan pihak swasta Sime Darby dan Infoculture Sdn Bhd menjadi “anchor companies” untuk  menggunakan kawasan sawah luar jelapang sedia ada atau sawah yang ditinggalkan (abondoned rice fields).

Sime Darby  berperanan untuk menanam, mengilang dan mengisar varieti padi wangi baru iaitu MRQ 76 yang mempunyai ciri nasi yang wangi dan lembut seakan beras wangi Jasmine yang diimport dari Thailand. Sime Darby melaksanakan peranan ini berdasarkan kejayaan “ model farm Sime Darby” di Sg Gedong bersama petani di kawasan Bagan Serai, Perak dan kini telah mengembangkan kejayaan ini ke daerah Sik Kedah. Sebagai permulaan, padi wangi MRQ 76 telah ditanam seluas 15 hektar di Sg Gedong dan 50 hektar di kawasan Sik.

Syarikat Infoculture pula sedang meningkatkan pengeluaran Maswangi secara organik di beberapa kawasan di  Titi Tinggi, Sik dan Lanchang  selepas kejayaan dari 8 hektar di Kg Ewa Langkawi, Kedah.  Penanaman Masangi secara organik dan pemasaran sebagai beras organik akan memenuhi keperluan atau pemintaan segmen pengguna tertentu di pasaran dalam dan luar negara terutama bagi pengguna yang mempunyai kesedaran kesihatan yang tinggi. Setakat ini, semua keluaran Maswangi secara organik telah dipasarkan melalui rangkaian pasar makanan organik terkemuka di Malaysia

Projek ini dijangka dapat mengurangkan pengaliran keluar wang negara di mana pengeluaran tempatan ditingkatkan kepada 73,000 tan dan menghasilkan pendapatan negara kasar (GNI) sebanyak RM 133 juta. Pada masa yang sama akan meningkatkan pendapatan petani di kawasan tersebut kerana pengilang akan membeli padi wangi dengan harga 16-20% lebih tinggi dari harga padi biasa. Sekaligus ianya boleh menghidupkan semula tanah bendang terbiar yang keluasannya mencecah 18, 200 hektar.

Seiring dengan penglibatan pihak swasta, MARDI sebagai institusi penyelidikan yang menjana varieti padi wangi serta teknologi pengeluarannya akan meneruskan R&D dalam penambahbaikan varieti padi wangi sedia ada. Pada masa yang sama MARDI akan meneruskan pembangunan varieti padi wangi baru dan kaedah penanaman padi wangi dalam persekitaran tempatan. Berbagai projek merangkumi pembaikbakaan varieti padi wangi baru, kajian agronomi bagi pengeluaran padi wangi, kajian pengurusan penyakit dan perosak dan juga kajian lepas tuai sedang giat dijalankan. Kesemua kajian ini bakal memberikan satu pakej lengkap pengeluaran padi wangi bagi meningkatkan hasil, mengurangkan kehilangan dan yang lebih utama menjamin kualiti beras dan nasi.

Kesimpulan
Kajian baikbaka padi berkualiti tinggi telah menghasilkan 3 varieti padi wangi dengan ciri yang berbeza setiap satunya. Pengguna boleh memilih mengikut citarasa masing-masing dan resepi tertentu.  Pengeluaran secara sistematik seperti yang dilaksankan oleh syarikat Sime Darby dan Infoculture boleh mengurangkan import beras wangi negara sekaligus menambah baik taraf hidup petani di luar Jelapang padi. Ini tidak mungkin boleh direalisasikan tanpa sokongan dan pelan transformasi ekonomi yang dijana oleh kerajaan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: