IPOH, 12 Sept – Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Johari Baharom Isnin, berkata bidang tanaman orkid mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan dan luar negeri dengan purata jualan tahunan kini kira-kira RM140 juta.
Beliau berkata bidang berkenaan sangat berpontensi untuk diceburi oleh usahawan tempatan, dan kementerian sedia membantu mereka yang berminat.
“Terdapat beberapa ladang orkid di Selangor dan Johor dimiliki rakyat Singapura yang menyedari perniagaan ini memberikan pendapatan yang amat lumayan.”
“Kita akan memberikan sokongan, galakan dan bantuan sekiranya ada di kalangan petani yang ingin menceburi bidang ini melalui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Orkid anjuran Persatuan Orkid Ipoh (IOS) di sini.
Johari berkata MARDI yang mempunyai kepakaran dan maklumat mengenai tanaman hiasan ini bersedia memberi sokongan dan khidmat nasihat kepada petani yang ingin menanam orkid dalam skala besar.
Beliau berkata hasil kajian yang dibuat MARDI juga berjaya menghasilkan beberapa spesies orkid yang mempunyai bau wangi, dan ia mendapat permintaan meluas di Eropah, Jepun, Singapura dan Taiwan.
Johari berkata pasaran domestik bagaimanapun dikatakan sedikit lembab kerana masih ramai yang menganggap spesies orkid memerlukan penjagaan yang rapi dan kos yang tinggi menyebabkan ia kurang mendapat sambutan.
“Sebenarnya, kos penjagaan bagi tanaman ini amat rendah dan ia mampu ditanam oleh semua orang…tidak hanya kepada orang tertentu,” katanya.
Sebanyak 100,000 pokok orkid dari 2,000 spesies dipamerkan pada pameran yang bermula hari ini hingga 19 Sept.
Persatuan menyasarkan jualan sebanyak RM500,000 dari kesemua spesies yang dipamerkan dan mensasarkan kehadiran 2.5 juta pengunjung sepanjang pameran tujuh hari itu.
(Sumber dipetik dari BERNAMA)
Adakah pihak Mardi menawarkan kursus pembiakan orkid melalui kaedah ’tissue culture’
Untuk pengetahuan En Abdul Latif, pihak MARDI telahpun menganjurkan kursus secara berjadual ‘Pembiakan orkid secara kultur tisu ’ pada 25-29 Julai di Serdang. Jika tuan berminat, dicadangkan memohon kursus luar jadual dengan melayari laman web MARDI di pautan http://www.mardi.gov.my, lihat di bawah Pautan Pantas > Kursus dan Latihan, atau tuan boleh hubungi talian 03-8943 7888 / 7238 / 7221 untuk pertanyaan lanjut.