Mengesan antibiotik ternakan ayam

Selama ini adakah kita sebagai pengguna mengambil berat mengenai apa yang kita makan? Misalnya antibiotik yang terkumpul dalam daging ayam yang kita makan setiap hari?

Antibiotik terutama tetracycline digunakan secara meluas dalam pengeluaran ternakan bagi terapi dan peningkatan berat badan.

Bahan berkenaan dimasukkan ke dalam makanan bagi merangsang peningkatan berat selain menghalang jangkitan penyakit.

Biasanya antibiotik berkenaan diberikan, bermula dalam makanan permulaan atau starter sehingga ke ‘finisher’ atau sehingga ayam disembelih.

Biasanya antibiotik akan berkumpul dalam tisu haiwan ternakan dan memasuki rantaian makanan apabila ternakan berkenaan disembelih, dijual dan dimakan oleh manusia.

Antibiotik stabil sehingga sembilan bulan dan tidak terurai malah akan terkumpul di dalam otot, hati dan kulit.

Daging ayam merupakan makanan utama dalam diet manusia. Antibiotik yang terdapat dalam daging ayam mungkin boleh mendatangkan kesan kepada manusia seperti rentan kepada antibiotik serta memberikan kesan karsinogenik (penyebab kanser).

Disebabkan penggunaan antibiotik menjadi semakin penting dalam pengeluaran makanan, pihak berkuasa perlu mengambil langkah tertentu bagi mengukur kesan sisanya dalam makanan.

Bagi memastikan produk makanan yang selamat untuk penggunaan tempatan dan antarabangsa, keupayaan mengesan sisa antibiotik dalam ternakan ayam sangat penting.

Sistem pengesanan antibiotik yang ideal biasanya dirujuk sebagai imbasan mikrobiologi diikuti dengan ujian ELISA dan pengesahan akhir serta kuantiti menggunakan analisis HPLC atau GCMS.

Walaupun analisis berkenaan menggunakan peralatan yang sensitif tetapi ia amat mahal dan memakan masa yang lama.

Justeru itu, gabungan jalur biosensor yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan peralatan digital mudah alih yang dibangunkan oleh Rapid Lab Sdn. Bhd. bagi pemantauan antibiotik, mampu dimiliki dan sesuai bagi mendapatkan keputusan yang cepat.

Pegawai penyelidik di Pusat Penyelidikan Bioteknologi MARDI, Dr. Faridah Salam berkata, teknologi yang dibangun berdasarkan kepada produk antibiotik tempatan sangat berkaitan dengan pemantauan antibiotik.

Ini kerana jalur berkenaan boleh digunakan di lapangan pada masa sebenar.

“Jalur berkenaan mempunyai potensi pasaran yang besar bagi penggunaan eksport dan tempatan bernilai sehingga RM250 juta.”

“Sejak Kementerian Kesihatan meningkatkan keupayaan mengimbas kandungan antibiotik dalam produk berasaskan ayam, jalur biosensor merupakan teknik terbaik bagi imbasan antibiotik,” katanya.

Biasanya paras antibiotik yang selamat adalah 100 bahagian per bilion atau 100 mikrogram bagi satu kilogram.

Dr. Faridah berkata, selalunya hanya penternak industri ayam yang besar mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Dianggarkan kos imbasan saja menyumbang kira-kira 10 peratus daripada jumlah kos pasaran.

Pada tahun pertama, jalur berkenaan dijangka dapat memasuki 10 peratus pasaran segmen ujian dengan pertumbuhan lima hingga 10 peratus setahun.

Berdasarkan segmen pasaran, produk berkenaan dijangka menjana pendapatan sebanyak RM2.5 juta setahun.

(Sumber dipetik dari Utusan Malaysia)

Tanaman Orkid Potensi Diceburi Meluas Oleh Usahawan

IPOH, 12 Sept – Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Johari Baharom Isnin, berkata bidang tanaman orkid mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan dan luar negeri dengan purata jualan tahunan kini kira-kira RM140 juta.

Beliau berkata bidang berkenaan sangat berpontensi untuk diceburi oleh usahawan tempatan, dan kementerian sedia membantu mereka yang berminat.

“Terdapat beberapa ladang orkid di Selangor dan Johor dimiliki rakyat Singapura yang menyedari perniagaan ini memberikan pendapatan yang amat lumayan.”

“Kita akan memberikan sokongan, galakan dan bantuan sekiranya ada di kalangan petani yang ingin menceburi bidang ini melalui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Orkid anjuran Persatuan Orkid Ipoh (IOS) di sini.

Johari berkata MARDI yang mempunyai kepakaran dan maklumat mengenai tanaman hiasan ini bersedia memberi sokongan dan khidmat nasihat kepada petani yang ingin menanam orkid dalam skala besar.

Beliau berkata hasil kajian yang dibuat MARDI juga berjaya menghasilkan beberapa spesies orkid yang mempunyai bau wangi, dan ia mendapat permintaan meluas di Eropah, Jepun, Singapura dan Taiwan.

Johari berkata pasaran domestik bagaimanapun dikatakan sedikit lembab kerana masih ramai yang menganggap spesies orkid memerlukan penjagaan yang rapi dan kos yang tinggi menyebabkan ia kurang mendapat sambutan.

“Sebenarnya, kos penjagaan bagi tanaman ini amat rendah dan ia mampu ditanam oleh semua orang…tidak hanya kepada orang tertentu,” katanya.

Sebanyak 100,000 pokok orkid dari 2,000 spesies dipamerkan pada pameran yang bermula hari ini hingga 19 Sept.

Persatuan menyasarkan jualan sebanyak RM500,000 dari kesemua spesies yang dipamerkan dan mensasarkan kehadiran 2.5 juta pengunjung sepanjang pameran tujuh hari itu.

(Sumber dipetik dari BERNAMA)

Adventure Camp Tour Tarik Minat Wartawan Singapura

Sejak diperkenalkan pada awal tahun ini, pakej Agropark Adventure Camp telah mendapat sambutan dari pelbagai golongan pengunjung ke Taman Agro Teknologi MARDI Langkawi (TATML), sama ada dari kalangan pelawat individu (walk in tour) mahu pun pelawat berjadual.

Pada 17 September yang lalu, sekumpulan 11 orang wartawan dari Singapura telah berkunjung Ke TATML bagi mencuba sendiri pakej yang menggayakan aktiviti lasak ini sebagai acara sampingan selain daripada lawatan ladang. Kunjungan para wartawan ini dicetus susulan daripada lawatan tinjauan agensi-agensi pelancongan negara itu beberapa bulan dahulu. Dengan lawatan ini, adalah diharapkan agar pake-pakej TATML akan tersebar luas  di media Republik itu.

Selain daripada itu, pengurusan TATML juga difahamkan oleh Syarikat Golden Eagle & Tours yang mengendalikan aktiviti lasak ini, telah menerima permohonan dari pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis untuk menghantar 60 peserta mengikuti kursus team building pada 6 Oktober ini. Perancangan selanjutnya TATML bersama Golden Eagle adalah persiapan membuat promosi ke sekolah-sekolah.