Mengenali Stevia

Stevia (Stevia rebaudiana) yang berasal dari Paraguay, Amerika Selatan, bersifat saka jangka pendek dan boleh hidup selama tiga hingga lima tahun. Ia boleh dibiakkan melalui biji benih secara keratin ataupun kultur tisu. Di negara beriklim sederhana, stevia ditanam menggunakan biji benih. Di Malaysia pula, kaedah menanam secara keratin lebih sesuai kerana pokoknya lebih seragam. Tambahan lagi, iklim tropika akan menyebabkan pengeluaran biji benih stevia kurang memuaskan.

Anak stevia diletakkan di tapak semaian selama sebulan hingga satu setengah bulan, sebelum dipindah ke ladang pada kepadatan 167,000 pokok sehektar. Petak penyelidikan MARDI di Serdang menempatkan tanaman stevia yang berumur 10 bulan dan masih membesar. Di Malaysia, stevia hanya tumbuh setinggi 30 sentimeter cm sebelum mula berbunga sebulan selepas ditanam (dalam iklim sederhana, stevia tumbuh setinggi 60 cm hingga 1 meter m sebelum mula berbunga). Stevia merupakan tumbuhan jangka siang pendek, menyebabkannya cepat berbunga sekiranya jangka siang tidak melebihi13 jam (jangka siang di Malaysia hanya 12 jam).

Teras penyelidikan MARDI ketika ini adalah untuk memilih varieti yang lebih sesuai dengan iklim tempatan, iaitu kurang peka terhadap jangka siang yang pendek, dan juga mereka bentuk mesin untuk penuaian hasil. Buat masa ini, aktiviti menuai dibuat secara manual kerana pokok ini amat rendah.  Keadaan ini boleh melenguh tulang belakang penuai terlibat.

Untuk mendapatkan kandungan maksimum bahan pemanis di dalam daun, penuaian dilakukan sebaik sahaja kudup bunga kelihatan. Bilangan tuaian boleh mencapai 10-11 kali setahun bergantung kepada pertumbuhan pokok.