Lawatan Delegasi Langkawi International Dialogue (LID 2011) Ke MARDI

Langkawi International Dialogue (LID 2011) telah berjaya dilangsungkan di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya dari 19 hingga 21 Jun 2011. LID 2011 dianjurkan oleh Kementerian Luar Negara dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Commonwealth Partnership for Technology Management (CPTM) dimana LID 2011 tertumpu kepada usaha untuk mengubah dan memajukan perkongsian pintar ke arah meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi negara-negara yang mengambil bahagian. Sejumlah 25 Ketua Negara / Kerajaan telah dijemput untuk menghadiri LID 2011 manakala jumlah peserta yang hadir kira-kira 500 orang.

Dalam perancangan LID 2011 tahun ini, format LID telah diubah dari berbentuk seminar sahaja kepada konsep ‘Smart Partnership: Dialogue in the Field’ melalui lawatan kerja delegasi ke agensi-agensi di Malaysia. MARDI telah dipilih sebagai salah satu daripada destinasi lawatan kerja tersebut. Pada 20 Jun 2011 bertempat di Bilik Taklimat Direktorat MARDI, Y. Bhg. Datuk Dr. Abd. Shukor bin Abd. Rahman, Ketua Pengarah MARDI telah menerima lawatan delegasi LID 2011 seramai 70 orang  dan menyampaikan taklimat sempena lawatan tersebut.

Delegasi telah dibawa melawat ke Galeri Digital MARDI di mana delegasi berpeluang melihat kemajuan teknologi pertanian yang telah dibangunkan oleh MARDI. Mereka turut dibawa melawat ke Spa MAEPS yang diusahakan oleh usahawan tempatan serta Laman Herba dan Laman Sayur MAEPS. Rata-rata delegasi yang hadir merasakan lawatan ke MARDI terlalu singkat kerana jadual lawatan yang ketat. Sungguh pun demikian, ada juga antara mereka yang menyatakan hasrat untuk mengadakan kerjasama dua hala dengan MARDI.

Advertisement