ALOR SETAR, 8 Julai — Jabi Rice Mill Sdn Bhd (Jabi Rice)menyasarkan permintaan produk makanan ringan (snek) berasaskan beras perang keluarannya mencecah RM6 juta pada tahun pertama apabila memasuki pasaran Ogos ini.
Pengerusinya, Abdul Lateh Mohd Saman berkata snek Jabi Rice yang dipasarkan melalui rangkaian kedai-kedai muslimin di seluruh negara sejak Disember tahun lepas mendapat sambutan memuaskan walau pun menghadapi saingan produk terkenal.
Beliau berkata rundingan dengan pasaraya besar seperti Tesco, Giant, Jaya Jusco dan Mydin untuk memasarkan produk Jabi Rice di pasaraya mereka yang masih berjalan adalah positif.
“Kami juga dalam proses menandatangani perjanjian dengan syarikat pemilik Upin dan Ipin bagi memasarkan snek Jabi Rice di Indonesia menggunakan watak cerita tersebut yang mendapat penarafan tinggi di negara jiran itu.
“Kemasukan produk ini di Indonesia dijangka meningkatkan nilai pengeluaran kami kepada RM6 juta dalam tahun pertama sahaja,” kata Abdul Lateh kepada pemberita selepas menerima sijil graduasi Inkubati Inkubator Teknoloji MARDI dari Timbalan Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Masri Muhamad di kompleks kilang Jabi Rice di Kampung Jabi dekat sini hari ini.
Menurutnya, Jabi Rice membelanjakan RM2.8 juta bagi melengkapkan kilang dengan peralatan pemprosesan untuk pengeluaran pra-komersil produk ekstrusi berkapasiti 500 kilogram sehari di kompleks tersebut yang memenuhi Analisis Bahayas Titik Pengendalian Kritikal (HACCP) dan piawaian keselamatan.
Pada peringkat awal, snek beras perang tersebut dikeluarkan dengan jenama J’Rice Poppers berperisa keju, kari dan ayam, akan juga dipasarkan di beberapa negara Asean, kata Abdul Lateh.
Pengarah Urusan Jabi Rice, Badrol Hisham Mohd Rejab berkata syarikatnya menjadi ikubati di Inkubator Stesen MARDI Alor Setar pada 2008, membuka ruang kepada Jabi Rice untuk fokus kepada produk hiliran berasaskan beras perang.
Jabi Rice menghasilkan beras tempatan jenama Kedah Best, Delima Madu, Lebah Madu, Delima Kasturi, Ummi, Delima Pandan dan Suri serta beras perang yang diedarkan di negara ini, katanya.
Sementara Dr Masri berkata penghasilan snek berasaskan beras perang oleh Jabi Rice adalah yang pertama di Malaysia menggunakan teknoloji MARDI.
Katanya snek dari beras perang sangat berkhasiat dan baik untuk kesihatan kerana mengandungi lapisan bran serat makanan, vitamin dan garam galian.
(Sumber dipetik dari BERNAMA)