Seminar Dwi Mingguan Bil 9/2011

Seminar Dwi Mingguan tahun 2011 siri kesembilan akan diadakan pada 17 Jun 2011 (8.30 pagi) bertempat di Bilik Taklimat Bangunan Direktorat Blok A, Ibu Pejabat MARDI Serdang.

Berikut adalah tajuk pembentangan dan nama pembentang:

Tajuk pembentangan 1 :
IHC2010: SCIENCE AND HORTICULTURE FOR PEOPLE
Pembentang 1: En. Abdullah Hassan ( Pusat Penyelidikan Hortikultur )

Tajuk pembentangan 2:
TROPICAL FRUIT JUICE PROCESSING IN CHINA : AN OVERVIEW
Pembentang 2: En. Mohamed Nazim Bin Anvarali (Pusat Penyelidikan Teknologi Makanan)

Semua di jemput hadir.

Syarikat Tani Digesa Guna Pakai Prinsip Pelaburan Berbalik

Syarikat pertanian Malaysia yang terlibat dalam perniagaan haiwan ternakan digesa mengguna pakai prinsip pelaburan berbalik dalam perniagaan mereka untuk menjimatkan kos.

Perunding sekutu Marditech Corp Sdn Bhd, Dr Ahmad Zamzam Mohamed, berkata ini akan mengurangkan kos mengimport makanan, yang mahal.

Beliau berkata ketika ini hanya empat peratus daripada syarikat-syarikat ini telah berbuat demikian.

“Bahagian Barat Australia dan Kemboja telah dikenal pasti oleh Marditech sebagai lokasi terbaik dan paling dekat bagi syarikat Malaysia untuk melabur dan membiakkan ternakan mereka sendiri dan mengeluarkan makanan haiwan,” katanya pada taklimat media di Persidangan Ke-7 Perniagaan Bio-Tani Antarabangsa Malaysia 2011, di sini, Khamis.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Marditech, Anas Ahmad Nasaruddin, berkata penting bagi sektor makanan, minuman dan sektor berkaitannya meneroka cara untuk meningkatkan produktiviti bagi menangani krisis makanan.

“Ini juga sebagai maklum balas kepada pengiktirafan kerajaan terhadap pertanian sebagai satu daripada Bidang Ekonomi Utama Negara untuk mengubah negara menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya.

(Sumber dipetik dari BERNAMA)

Persidangan Perniagaan Antarabangsa Agro-Bio Malaysia Ke-7

Persidangan Perniagaan Antarabangsa Agro-Bio Malaysia Ke-7, yang merupakan anjuran bersama MARDI, Marditech, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad dan Expomal International Sdn Bhd, dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, akan diadakan pada 13-14 Julai bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, sempena dengan Pameran Perdagangan Antarabangsa Makanan & Minuman Ke-12 (MIFB 2011).

Seramai 22 orang pakar dan ahli perniagaan industri makanan dari Malaysia, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Denmark, akan berkongsi pengalaman dan pengetahuan mereka tentang krisis bekalan makanan dunia dalam persidangan ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Marditech Corporation Sdn Bhd, Anas Ahmad Nasaruddin, persidangan ini adalah untuk menyahut seruan kerajaan, menjadikan pertanian sebagai satu-satu sektor penting dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Di samping itu, ia adalah platform usahawan tempatan untuk bertemu dengan syarikat-syarikat seluruh dunia, dan bertukar-tukar pendapat dengan mereka dalam aspek pertanian.

MARDI pemudah cara petani

Sekinchan – MARDI, salah satu agensi di bawah Kementerian Pertanian, Industri dan Asas Tani, bertindak sebagai pemudah cara untuk peserta Azam Tani meningkatkan pendapatan.

Pengarah MARDI Selangor, Dr Zainal Abidin Hassan berkata, MARDI sebagai pemudah cara peserta meningkatkan pendapatan dan keluar daripada kemiskinan hidup.

“Pesertanya perlu berusaha sendiri untuk berjaya dan kita di MARDI akan membimbing. Kita akan datang dua minggu sekali memantau penggunaan peralatan yang diberikan.

“Kita mahu peserta mencatatkan hasil pendapatan mereka supaya dapat melihat pencapaian mereka dengan peralatan yang diberikan berdasarkan minat serta keperluan mereka,” katanya.

Difahamkan, peserta yang memperlihatkan peningkatan dan mempunyai potensi ada bantuan tambahan yang akan menyusul selepas itu.

Peserta dari Tali Air Tujuh, Ban Tiga, Sungai Leman, Zakaria Kamis, 48, menerima pam air 6HP Cultivator (bajak kecil), dawai pertanian dan tiang dengan jumlah keseluruhan RM5,000 berjanji untuk memanfaatkan sebaik mungkin peralatan yang diberikan.

“Saya akan menggunakan peralatan yang diberikan semaksimum mungkin. Sebelum ini saya terpaksa meminjam peralatan ini daripada kawan, tapi dengan bantuan Azam Tani, lebih mudah untuk saya menambah pendapatan tanpa perlu meminjam,” katanya.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Noriah Kasnon berkata, peralatan yang diberikan adalah harta kerajaan dan diberikan pinjaman kepada peserta untuk memanfaatkannya sebaik mungkin.

“Peralatan ini tidak boleh dijual dan kita berhak mengambil semula jika ia tidak dimanfaatkan.

“Peserta boleh gunakannya dan tidak perlu bayar. Jika tiada pengalaman, kita boleh bimbing mereka. Ini memperlihatkan kesungguhan kerajaan membantu rakyat,” katanya.

Noriah turut menyarankan, peserta Azam Tani memaksimumkan penggunaan peralatan pertanian yang diberikan sama ada untuk kegunaan projek pertanian sendiri ataupun mengambil upah.

Turut menerima bantuan, peserta dari Parit 11 Gambut, Sungai Panjang, Ariffin Abdullah, 49, yang menerima pakaian meracun, Mist Blower Cifarelli, mesin tebas padi angin, mesin tabur benih Zenoah Komatsu, pam air 6HP, set cable sprayer dengan hos 250 meter dan gerabak power spayer dengan nilai keseluruhan RM9,000.

Sementara itu, peserta dari Tali Air Lapan, Ban Tiga, Sungai Leman, Mariani Salleh, 44, berkata, bantuan peralatan untuk berniaga akan digunakan sebaik mungkin dan tidak mensia-siakannya.

“Biarpun tiada pengalaman, saya akan berusaha untuk menjalankan perniagaan sebaik mungkin untuk meningkatkan pendapatan. Anak akan bantu saya berniaga,” katanya.

Sementara itu, anaknya, Mohd Ishak Razali, 23, berkata, dia gembira dengan bantuan peralatan perniagaan diberikan dan akan cuba bersama-sama ibunya menjalankan perniagaan.

“Saya cuba untuk berniaga dan mendapatkan bimbingan daripada MARDI untuk lebih berjaya serta dapat mengembangkan lagi perniagaan kecil-kecilan ini satu masa nanti,” katanya.

Mariani menerima payung, lapan kerusi plastik, dua meja plastik, set balang air dan pencedok, 1,000 bekas polisterin burger, kotak ais, gerai burger dengan jumlah keseluruhan RM8,000.

(Sumber dari Sinar Harian)