Padi ‘Siraj’ Mampu Tambah Hasil 20 Peratus Di Pasaran Mulai Ogos

KANGAR, 23 Jun – Benih padi hibrid “Siraj” yang berkualiti dan berkeupayaan meningkatkan hasil pengeluaran padi negara, akan berada di pasaran mulai Ogos ini, kata Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr Abdul Shukor Abdul Rahman.

Sebagai permulaan, 200 tan metrik benih padi itu akan dipasarkan tahun ini dan akan ditingkatkan kepada 2,000 tan metrik pada tahun depan, katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian stesen penyelidikan padi hibrid MARDI Perlis dan pelancaran pengkomersilan padi hibrid Siraj oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Tambun Tulang dekat sini hari ini.

Abdul Shukor berkata hasil padi hibrid Siraj adalah 20 peratus lebih tinggi daripada varieti biasa, dan penggunaan benih bagi setiap hektar kawasan penanaman hanyalah antara 25 dan 30 kilogram berbanding 250 kg hingga 300 kg benih bagi padi biasa.

Siraj adalah hasil kacukan padi jenis “Indica” dan “Japonica” dari India dan ia didapati sesuai ditanam di negara ini.

Namun, kata Abdul Shukor, MARDI akan mengenal pasti kawasan yang lebih berpotensi untuk dilaksanakan penanamannya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dalam ucapannya pada majlis itu berkata, program padi hibrid diterajui oleh Yayasan Tuanku Syed Sirajuddin dan RB Biotech Sdn Bhd.

MARDI telah menghasilkan padi hibrid Siraj pada 2005.

Namun ketika itu ia belum dapat diagihkan kepada petani kerana benihnya belum mendapat perakuan MARDI dan kelulusan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk penanaman komersil.

Tuanku Syed Sirajuddin kemudian meninjau proses tanaman padi hibrid Siraj di sawah berhampiran stesen itu.

(Sumber dipetik dari Bernama)

Advertisement

KPI MARDI beri kos, khidmat percuma

SEMERAH – Projek Key Performance Indeks (KPI) yang dikelolakan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Negeri Johor buat pertama kalinya berjaya membangunkan ekonomi penduduk di daerah ini.

Projek KPI yang dijalankan ini bermula Oktober setahun lalu melibatkan penduduk yang mempunyai pendapatan RM270 hingga RM1,600 bagi membolehkan MARDI bertindak untuk membangunkan ekonomi golongan ini.

Pengarah MARDI Negeri Johor, Jamadon Bahari berkata, Projek KPI ini adalah program pertama kali yang diadakan dengan memilih Batu Pahat sebagai destinasi pertama untuk menjayakan projek ini.

Menurutnya, tujuan utama projek KPI adalah untuk membasmi kemiskinan tegar terutamanya penduduk di luar Bandar dan disenaraikan dalam senarai e-kasih yang berpendapatan rendah.

“Sebanyak 100 penduduk yang dikategorikan sebagai miskin tegar dipilih untuk menjayakan projek ini bagi membantu mereka meningkatkan pendapatan ,” katanya beliau.

Menurutnya, di bawah Projek KPI ini, terdapat enam lagi projek MARDI dibahagikan mengikut kesesuaian tempat serta minat mereka agar golongan ini berurusan secara terus dengan MARDI.

“Antara projek yang dijalankan adalah Indeks Asas Tani (IAT), Projek Ayam Kampung (Kacukan), Projek Cendawan dan ikan keli.

“Manakala, Projek Tanaman Fertigasi iaitu tanaman menggunakan sabut kelapa turut dilaksanakan dan Perniagaan Tani membantu golongan yang layak menerima motosikal roda tiga untuk memudahkan jualan,” katanya.

Menurutnya, seramai 100 peserta dipilih dari Parlimen Batu Pahat (Dun Rengit dan Senggarang) dan Parlimen Parit Sulong (Dun Semerah) dan dibahagikan mengikut minat bagi menambah pendapatan.

“Semua golongan yang terlibat dalam Projek KPI ini juga dibantu dari segi produk serta tanaman yang berkaitan pertanian secara percuma tanpa dikenakan sebarang bayaran.

“Malahan, MARDI juga turut menyediakan segala kemudahan berkaitan dengan projek KPI ini agar mereka tidak perlu mengeluarkan wang,” katanya yang juga turut mengatakan bahawa setiap penerima bantuan ini diterima secara berperingkat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Datuk Ariss Samsuddin berkata, beliau menyokong segala usaha yang dilakukan dalam konteks pertanian ini bagi membolehkan golongan miskin tegar mempertingkatkan ekonomi mereka.

Menurut, ini juga satu langkah bijak kerana usaha MARDI memilih penduduk miskin tegar ini mampu menarik mereka keluar dari kategori yang disenaraikan dalam e-kasih.

“Saya menyokong sepenuhnya usaha ini dan mungkin dengan cara begini, kita sudah memberi peluang untuk berniaga kerana segala modal serta keperluan ditanggung sekali gus pendapatan mereka dapat dipertingkatkan.

Sementara itu, Ahmad Selamat, 55, antara 36 penerima Projek Ayam Kampung (Kacukan) berkata, dia gembira mendapat bantuan Mardi kerana segala kemudahan berkaitan penternakan ayam disediakan.

“Ini satu usaha yang dapat membantu golongan seperti saya yang mempunyai minat dalam perusahaan ini tetapi tidak mempunyai modal,” katanya.

(Sumber dipetik dari Sinar Harian)