Gambia Intai Kepakaran MARDI Untuk Tingkatkan Output Kacang Tanah

SERDANG, 20 Jun – Negara di barat Afrika, Gambia berminat untuk mendapatkan kepakaran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) bagi memperbaiki sektor pertaniannya, terutama dalam meningkatkan pengeluaran eksport utamanya, kacang tanah.

“Kami telah melihat pembangunan dan pencapaian Malaysia dalam sektor pertanian, dan negara-negara Afrika boleh memperoleh banyak pengetahuan di sini,” kata Menteri Perikanan, Sumber Air dan Hal Ehwal Negara Gambia Lamin Kaba Bajo Isnin, berikutan lawatan ke MARDI di sini.

Beliau berkata hubungan Gambia dengan MARDI boleh membangunkan sektor pertanian negara itu, yang kurang menyerlah, secara lebih luas.

Ekonomi Gambia bergantung kuat pada sektor pertanian yang berjumlah 29.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2006. Pengeluaran kacang tanah berjumlah 6.4 peratus daripada KDNK.

Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Abd Shukor Abd Rahman yang menjadi hos kepada lawatan perwakilan Afrika yang meghadiri Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) Kesembilan itu, berkata adalah penting untuk memberi tumpuan kepada teknologi baru dalam sektor pertanian bagi menjadi lebih berdaya saing.

“Apa yang telah kami lakukan setakat ini ialah untuk menghasilkan lebih banyak teknologi baru. Sekarang ini kami membangunkan bio-racun perosak dan bio-pengeluaran yang lebih mesra alam,” katanya.

Shukor berkata Malaysia boleh memainkan peranan utama dalam kerjasama dengan melesenkan teknologinya ke Afrika, memandangkan agensi penyelidikannya mempunyai kepakaran yang mencukupi dalam pelbagai bidang dalam sektor pertanian.

“Ini kali pertama perwakilan dari Afrika melawat MARDI, dan (melihat) daripada tindak balas mereka, mereka menunjukkan minat untuk bekerja dalam usahasama dengan kami (MARDI),” katanya.

Sebelum ini, MARDI membantu Nigeria meningkatkan pengeluaran berasnya dengan memperkenalkan benih baru yang dibangunkan institut itu. MARDI juga telah memperluaskan sayapnya ke Guinea di Afrika Barat dan Malawi.

“Kami mesti membuat lonjakan besar dalam teknologi seperti teknologi nano, bioteknologi, dan dalam bidang automasi dan jentera untuk meningkatkan hasil,” katanya.

(Sumber dipetik dari Bernama)

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s