Lawatan Jawatan Kuasa Pemuda MCA Batu Pahat ke MARDI

Jawatan Kuasa Pemuda MCA cawangan Batu Pahat telah melakukan sebuah lawatan sambil belajar ke MARDI pada 15 Jun.

Tujuan lawatan yang terdiri daripada rombongan seramai 40 orang tersebut, adalah untuk menambah ilmu pengetahuan tentang penyelidikan dan teknologi terkini dalam bidang makanan dan pertanian.

Rombongan telah diberi taklimat oleh Dr Abdul Razak Hamzah selaku Timbalan Pengarah Sumber Strategik, di samping tayangan video korporat MARDI. Rombongan juga dibawa ke tapak fertigasi dan Unit Biji Benih, di mana demonstrasi cantuman dan penentuan kualiti biji benih telah ditunjukkan.

Mesyuarat Legato Bermula Di Pulau Pinang

Mesyuarat dan bengkel pertama “Land-use Intensity and Ecological Engineering – Assessement Tools For Risks and Opportunities in Irrigated Rice Based Production Systems” (Legato) dilancarkan di Georgetown pada 14 Jun dengan penyertaan daripada pelbagai institusi penyelidikan antarabangsa.

Acara tiga hari itu dianjurkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi) dengan kerjasama Centre for Environmental Research (UFZ), International Rice Research Institute (IRRI) dan Centre for Agricultural Bioscience International, Southeast and East Asia (CABI).

Legato 2011 dilancarkan oleh Ketua Pengarah Mardi Datuk Dr Abdul Shukor Abdul Rahman. Logo Legato turut dilancarkan pada majlis itu.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Antarabangsa dan Koordinator Projek Prof Dr Josef Settele berkata Legato merupakan konsortium antarabangsa dianggotai 22 institusi penyelidikan dari tujuh negara iaitu Jerman, Malaysia, Vietnam, Filipina, United Kingdom, Bulgaria dan Sepanyol.

Beliau berkata penubuhannya berobjektif menggalakkan pembangunan jangka panjang dan mampan bagi sawah padi dengan sistem pengairan dalam menghadapi risiko akibat daripada pelbagai aspek perubahan global.

Katanya projek penyelidikan juga bercadang untuk menentukan kuantiti pergantungan kepada fungsi ekosistem dan perkhidmatan yang dijana di tiga buah negara di Asia Tenggara iaitu Skim Pengairan Muda (Malaysia), Delta Mekong di Selatan dan kawasan Red River Valley dari Sapa ke Hanoi (Vietnam) dan dari Utara ke Luzon (Filipina).

(Sumber dipetik dari BERNAMA)