Syarikat Tani Digesa Guna Pakai Prinsip Pelaburan Berbalik

Syarikat pertanian Malaysia yang terlibat dalam perniagaan haiwan ternakan digesa mengguna pakai prinsip pelaburan berbalik dalam perniagaan mereka untuk menjimatkan kos.

Perunding sekutu Marditech Corp Sdn Bhd, Dr Ahmad Zamzam Mohamed, berkata ini akan mengurangkan kos mengimport makanan, yang mahal.

Beliau berkata ketika ini hanya empat peratus daripada syarikat-syarikat ini telah berbuat demikian.

“Bahagian Barat Australia dan Kemboja telah dikenal pasti oleh Marditech sebagai lokasi terbaik dan paling dekat bagi syarikat Malaysia untuk melabur dan membiakkan ternakan mereka sendiri dan mengeluarkan makanan haiwan,” katanya pada taklimat media di Persidangan Ke-7 Perniagaan Bio-Tani Antarabangsa Malaysia 2011, di sini, Khamis.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Marditech, Anas Ahmad Nasaruddin, berkata penting bagi sektor makanan, minuman dan sektor berkaitannya meneroka cara untuk meningkatkan produktiviti bagi menangani krisis makanan.

“Ini juga sebagai maklum balas kepada pengiktirafan kerajaan terhadap pertanian sebagai satu daripada Bidang Ekonomi Utama Negara untuk mengubah negara menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya.

(Sumber dipetik dari BERNAMA)