MARDI pemudah cara petani

Sekinchan – MARDI, salah satu agensi di bawah Kementerian Pertanian, Industri dan Asas Tani, bertindak sebagai pemudah cara untuk peserta Azam Tani meningkatkan pendapatan.

Pengarah MARDI Selangor, Dr Zainal Abidin Hassan berkata, MARDI sebagai pemudah cara peserta meningkatkan pendapatan dan keluar daripada kemiskinan hidup.

“Pesertanya perlu berusaha sendiri untuk berjaya dan kita di MARDI akan membimbing. Kita akan datang dua minggu sekali memantau penggunaan peralatan yang diberikan.

“Kita mahu peserta mencatatkan hasil pendapatan mereka supaya dapat melihat pencapaian mereka dengan peralatan yang diberikan berdasarkan minat serta keperluan mereka,” katanya.

Difahamkan, peserta yang memperlihatkan peningkatan dan mempunyai potensi ada bantuan tambahan yang akan menyusul selepas itu.

Peserta dari Tali Air Tujuh, Ban Tiga, Sungai Leman, Zakaria Kamis, 48, menerima pam air 6HP Cultivator (bajak kecil), dawai pertanian dan tiang dengan jumlah keseluruhan RM5,000 berjanji untuk memanfaatkan sebaik mungkin peralatan yang diberikan.

“Saya akan menggunakan peralatan yang diberikan semaksimum mungkin. Sebelum ini saya terpaksa meminjam peralatan ini daripada kawan, tapi dengan bantuan Azam Tani, lebih mudah untuk saya menambah pendapatan tanpa perlu meminjam,” katanya.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Noriah Kasnon berkata, peralatan yang diberikan adalah harta kerajaan dan diberikan pinjaman kepada peserta untuk memanfaatkannya sebaik mungkin.

“Peralatan ini tidak boleh dijual dan kita berhak mengambil semula jika ia tidak dimanfaatkan.

“Peserta boleh gunakannya dan tidak perlu bayar. Jika tiada pengalaman, kita boleh bimbing mereka. Ini memperlihatkan kesungguhan kerajaan membantu rakyat,” katanya.

Noriah turut menyarankan, peserta Azam Tani memaksimumkan penggunaan peralatan pertanian yang diberikan sama ada untuk kegunaan projek pertanian sendiri ataupun mengambil upah.

Turut menerima bantuan, peserta dari Parit 11 Gambut, Sungai Panjang, Ariffin Abdullah, 49, yang menerima pakaian meracun, Mist Blower Cifarelli, mesin tebas padi angin, mesin tabur benih Zenoah Komatsu, pam air 6HP, set cable sprayer dengan hos 250 meter dan gerabak power spayer dengan nilai keseluruhan RM9,000.

Sementara itu, peserta dari Tali Air Lapan, Ban Tiga, Sungai Leman, Mariani Salleh, 44, berkata, bantuan peralatan untuk berniaga akan digunakan sebaik mungkin dan tidak mensia-siakannya.

“Biarpun tiada pengalaman, saya akan berusaha untuk menjalankan perniagaan sebaik mungkin untuk meningkatkan pendapatan. Anak akan bantu saya berniaga,” katanya.

Sementara itu, anaknya, Mohd Ishak Razali, 23, berkata, dia gembira dengan bantuan peralatan perniagaan diberikan dan akan cuba bersama-sama ibunya menjalankan perniagaan.

“Saya cuba untuk berniaga dan mendapatkan bimbingan daripada MARDI untuk lebih berjaya serta dapat mengembangkan lagi perniagaan kecil-kecilan ini satu masa nanti,” katanya.

Mariani menerima payung, lapan kerusi plastik, dua meja plastik, set balang air dan pencedok, 1,000 bekas polisterin burger, kotak ais, gerai burger dengan jumlah keseluruhan RM8,000.

(Sumber dari Sinar Harian)

Advertisement