Seminar Dwi Mingguan Bil 8/2011

Seminar Dwi Mingguan tahun 2011 siri kelapan akan diadakan pada 3 Jun 2011 (8.30 pagi) bertempat di Bilik Taklimat Bangunan Direktorat Blok A, Ibu Pejabat MARDI Serdang.

Berikut adalah tajuk pembentangan dan nama pembentang:

Tajuk pembentangan 1 :
SEED CAPTAIN PROGRAM – MODUL 1: SEED VIGOUR
Pembentang 1: Pn. Zaitialia Mohlisun (Unit Biji benih)

Tajuk pembentangan 2:
POTENSI FORMULASI VIRUS NUKLEOPOLIHEDROSIS (NPV) SEBAGAI BIOPESTISID
Pembentang 2: Pn. Siti Noor Aishikin Abdul Hamid  (Pusat Penyelidikan Sumber Strategik)

Semua di jemput hadir.

Advertisement

Mesin mengasing sabut kelapa

Pokok kelapa dikatakan sebagai pokok seribu guna kerana setiap bahagiannya ada kegunaan tertentu. Batang misalnya boleh dibuat titi, daun untuk ketupat dan lidi penyapu, isi kelapa dan umbut untuk bahan dalam makanan dan terkini santan kelapa boleh menghasilkan minyak kelapa dara.

Biasanya sabut kelapa yang diproses digunakan dalam sektor pertanian terutama kerana ciri-cirinya yang menyerap air selain fiber digunakan dalam industri perabot.

Terdapat dua produk utama yang didapati daripada sabut kelapa adalah cocopeat (habuk sabut) dan coir (fiber panjang).

Biasanya cocopeat digunakan sebagai media tanaman terutama pada sistem fertigasi manakala coir merupakan bahan yang biasa terdapat di dalam tilam, di bawah lapisan karpet, hamparan dan papan penebat.

Kaedah pengeluaran cocopeat dan coir secara tradisional amat merumitkan dan memakan masa yang lama.

Biasanya sabut kelapa akan direndam di dalam kolam selama sebulan kemudian sabut yang diawet tadi diangkat dan ditoskan sebelum dipukul bagi memecahkan dan melembutkannya.

Cocopeat dan coir kemudian diasingkan menggunakan penapis.

Justeru Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah membangunkan mesin mengasing sabut kelapa bagi memudahkan usahawan kecil dan sederhana memproses sendiri sabut kelapa mereka.

Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi MARDI, Dr. Md. Akhir Hamid berkata, mesin mengasing sabut kelapa yang bangunkan amat mudah digunakan dan mesra alam sekitar.

Mesin berkenaan boleh memproses dan mengasingkan cocopeat dan coir amat diperlukan bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh pengusaha ladang kelapa.

“Mesin mengasing sabut kelapa berupaya memecahkan dan melembutkan sabut dan pada masa yang sana memisahkan fiber coir daripada cocopeat dalam satu operasi,” katanya semasa ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Semasa proses berkenaan, jelas Dr. Md. Akhir mesin berkenaan berupaya mengasingkan cocopeat dan coir iaitu dua produk daripada sabut kelapa.

Mesin berkenaan telah direka dengan kapasiti memproses 500 kilogram sabut dalam masa sejam.

“Hanya seorang pekerja diperlukan untuk menjalankan operasi berkenaan termasuk membungkus cocopeat dan coir,” katanya.

Bagi memudahkan operasi, mesin berkenaan dilengkapi dengan drum berpusing dengan diameter 100 sentimeter (sm), pisau untuk memukul serta roda dan beroperasi menggunakan enjin diesel 10 kuasa kuda.

Mesin berkenaan boleh dibawa ke ladang dengan sebuah traktor mini disambungkan kepada mesin pemisah bagi membolehkannya dibawa ke mana-mana saja di dalam ladang.

Mesin mengasing sabut kelapa boleh beroperasi terus di mana saja kerana tidak menggunakan tenaga elektrik.

Fiber coir dan cocopeat boleh diasingkan secara terus semasa proses pengasingan dan kedua-duanya dikumpulkan dalam kotak yang disediakan supaya dapat mengurangkan masa bekerja.

Mesin berkenaan telah direka sedemikian rupa bagi membezakannya dengan mesin yang biasa digunakan di dalam kilang.

Dr. Md. Akhir berkata, mesin mengasing sabut kelapa amat berguna bagi pengusaha tanaman kelapa dan usahawan media pertanian dan bagi individu yang menghasilkan cocopeat bagi kegunaan nurseri sendiri atau menjualnya kepada pihak lain.

“Mesin berkenaan boleh beroperasi terus dari ladang dan memberikan persekitaran yang lebih sihat,” katanya.

Mesin mengasing sabut dijangka dapat membantu petani kelapa meningkatkan pendapatan menerusi

Jualan fiber dan cocopeat terus kepada pelanggan seperti kepada pengeluar kerusi kereta dan nurseri.

Proses pemisahan sabut boleh dilakukan tanpa kilang dan mengelakkan pengumpulan sisa di sesuatu tempat dan dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar

Tidak terdapat kos tambahan bagi pengangkutan tambahan

Pengguna yang berpotensi menggunakan teknologi berkenaan seperti petani atau penanam kelapa dalam skala kecil, pengeluar fiber coir dan cocopeat komersial dan usahawan dan kecil dan sederhana.

(Sumber dari Utusan Online)

Potensi madu kelulut

SEGALA yang diciptakan Allah sudah pasti tiada yang sia-sia. Antara ciptaanNya yang amat istimewa adalah lebah. Sesungguhnya lebah diletakkan pada kedudukan amat penting berbanding serangga lain.

Tidak hairan jika satu surah di dalam al-Quran dinamakan An-Nahl bererti lebah berdasarkan firman Allah dalam ayat 68 dan 69 ertinya: “Dan Tuhanmu mengilhamkan kepada lebah: Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu dan di tempat yang dibuat manusia.”

“Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.”

Madu berasal daripada sari bunga dan menjadi ubat bagi pelbagai penyakit manusia.

Khasiat madu sebagaimana disampaikan al-Quran telah dibuktikan secara ilmiah oleh pakar perubatan.

Sehingga kini kajian hanya menjurus kepada lebah madu dalam Genus Apis seperti Apis melifera dan Apis dorsata yang menyengat.

Manakala lebah tidak menyengat atau kelulut dalam genus Trigona memainkan peranan penting bagi proses pendebungaan ditinggalkan.

Sama seperti lebah madu, kelulut juga membentuk koloni sosial yang kompleks.

Kajian dijalankan di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menunjukkan negara mempunyai kepelbagaian kelulut paling banyak berbanding negara Asia lain.

Pegawai Penyelidik, Pusat Penyelidikan Strategik, Mohd Fahimee Jaafar berkata, di Semenanjung Malaysia saja terdapat 29 spesies kelulut manakala jumlah spesies di Sabah dan Sarawak tidak dapat ditentukan.

“Di MARDI saja terdapat 15 spesies dan boleh dibahagikan kepada tiga iaitu besar, sederhana dan kecil,” katanya.

Kajian Mohd. Fahimee banyak dibantu oleh Pembantu Penyelidik, Hamdan Sipon yang telah menjalankan kajian kelulut selama lebih 10 tahun.

Fahimee berkata, usaha pemuliharaan spesies kelulut di lapangan giat dijalankan di MARDI bagi tujuan penyelidikan dan pendidikan.

Kelulut biasanya terdapat di hutan dan bersarang pada batang kayu yang telah ditebang.

“Beberapa sarang direka di ladang di Serdang bertujuan memanipulasi koloni bagi pendebungaan beberapa spesies buah-buahan serta buah-buahan dengan bunga kecil dan penghasilan madu.

“Kepelbagaian kelulut boleh dilihat menerusi bentuk sarang,” katanya.

Koloni kelulut di MARDI diletakkan di ladang durian, belimbing dan longan sebagai agen pendebungaan yang berjaya.

“Misalnya ladang durian yang mempunyai koloni kelulut menunjukkan peningkatan hasil dan sentiasa berbuah tidak mengira musim,” katanya.

Lebih istimewa, lebah kelulut mudah mendebungakan bunga bersaiz kecil yang tidak boleh dilakukan lebah madu.

Bagi tujuan komersial, koloni kelulut diletakkan dalam kotak yang boleh memuatkan 1,000 hingga 2,000 ekor.

“Dalam masa sebulan hasil kelulut sudah boleh dituai dalam bentuk madu, debunga dan propolis dan pengambilan madu lebih mudah kerana kelulut tiada sengat,” katanya.

Kelebihan kelulut adalah madunya boleh diambil setiap bulan apabila kotak sarang telah penuh dan madu berada di dalam kantung-kantung kecil.

Setakat ini madu kelulut belum lagi dikomersialkan kerana masih ramai tidak mengetahui kelebihan kelulut.

“Sama seperti lebah madu, kelulut juga menghasilkan madu dan propolis yang kaya dengan khasiat seperti antioksidan yang tinggi.

“Madu kelulut rasanya agak masam berbanding madu biasa dan warnanya lebih cerah,” katanya.

Madu kelulut lebih mahal dibandingkan dengan madu lebah biasa kerana kurang di pasaran.

Produk propolis berwarna kehitaman dikumpulkan oleh kelulut pekerja iaitu resin pokok yang dicampurkan dengan air liur serta makanan seperti debunga dan bunga.

Bahan propolis digunakan untuk melapisi bahagian dalam sarang bagi mengekalkan keadaan steril kerana anak kelulut amat sensitif dengan virus, kulat dan serangga perosak.

Propolis boleh berfungsi sebagai antikulat, antifungus, antibakteria dan antiradang yang biasanya digunakan sebagai bahan aktif dalam kosmetik, krim dan tablet.

Kelulut mudah diuruskan kerana tidak seperti lebah madu yang sering hilang, tidak tinggal di sarang serta mudah diserang penyakit.

Justeru, kajian mendalam mengenai produk kelulut perlu dijalankan bagi membolehkannya dikomersialkan pada masa hadapan.

(Sumber dari Utusan Online)