MARDI Komersilkan Polimer Komposit Daripada Kenaf

Hasil kajian selama enam tahun, Mardi berjaya membangunkan teknologi untuk menghasilkan polimer komposit daripada tanaman kenaf untuk menggantikan penggunaan kayu panel dalam industri pembinaan.

Ketua Pengarah Mardi Datuk Dr Abdul Shukor Abdul Rahman berkata produk dikenali KPC (Kenaf Polymer Composite) itu lebih tahan lama dan mesra alam kerana ia menggunakan setiap bahagian daripada kenaf serta tidak menggunakan produk kayu sekaligus memelihara alam semula jadi.

“Produk ini juga telah melalui pelbagai ujian ketahanan, malah ia juga telah dihantar untuk ujian di sebuah pusat penilai yang diiktiraf oleh Kesatuan Eropah, TUV Rheinland di Singapura, untuk dinilai di mana ia didapati tidak mempunyai sebarang masalah,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Mardi dan KPC Manufacturing Sdn Bhd di Mardi di sini hari ini.

Abdul Shukor berkata dengan penghasilan produk itu, tanaman kenaf akan lebih mendapat sambutan daripada petani untuk menanam tanaman itu sekaligus meningkatkan pendapatan mereka.

Beliau berkata teknologi itu juga tidak memerlukan pengusaha untuk memproses kenaf bagi mendapatkan serat, justeru meminimumkan kos dan sumber manusia kerana ia membolehkan kenaf terus dipotong dan diproses menjadi cip di ladang sebelum dihantar ke kilang untuk diproses.

“Keunikan teknologi ini adalah kemampuan kenaf untuk diproses secara langsung menjadi produk KPC tanpa perlunya produk perantara. Mesin ini juga boleh disesuaikan untuk penghasilan KPC dalam bentuk pelet bagi industri ekstrusi dan suntikan molding,” katanya.

Abdul Shukor berkata produk itu mempunyai pasaran yang luas di mana untuk pasaran tempatan sahaja, dianggarkan potensi bernilai RM3 bilion dapat diwujudkan untuk produk itu.

Beliau berkata pasaran global bagi komposit berasaskan kayu dianggarkan sekitar US$280 bilion dengan Malaysia dijangka mengeluarkan antara tujuh dan 11 peratus daripada permintaan itu.

Abdul Shukor berkata KPC Manufacturing dipilih sebagai rakan kongsi dalam usaha pengkomersilan produk ini kerana ia memenuhi spesifikasi ketat yang ditetapkan oleh Mardi, serta mempunyai kakitangan yang berpengetahuan luas dalam bidang kejuruteraan pembuatan dan pasaran.

“Saya percaya dengan profil syarikat yang baik, ia mampu untuk memasarkan produk ini dengan lebih jauh,” katanya.

(Sumber dari BERNAMA)

Advertisements

MARDI biak biri-biri Dorper secara separa intensif

MARDI berjaya mengeluar serta memajukan teknologi baru iaitu membiak biri-biri dari jenis Dorper di bawah sistem separa intensif. Teknologi ini bertujuan meningkatkan pengeluaran daging ruminan dan seterusnya membantu para penternak meningkatkan taraf sara hidup mereka.

Biri-biri Dorper dipilh sebagai baka daging kerana ia mempunyai daya ketahanan tinggi terhadap iklim tropika di negara ini dan terhadap penyakit, selain serangan parasit tempatan. Tambahan lagi, ia mudah diternak kerana boleh memakan pelbagai jenis rumput dan tumbuhan di samping tiada masalah pembiakan.

Pengeluaran secara separa intensif ini mampu membantu para penternak mengetahui cara pengurusan yang sistematik, baik dan sesuai, sekaligus meningkatkan pengeluaran baka yang bermutu serta berkualiti. Melalui teknologi baru ini, para penternak akan dapat meningkatkan pengeluaran daging ruminan kecil tempatan demi untuk mencapai sara diri negara sebanyak 35 peratus menjelang 2015 dan memenuhi permintaan kambing di pasaran.